Wednesday, October 20, 2010

KELANTAN MERENDAH DIRI


Sathianathan (kanan) dan Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim mempunyai strategi sendiri dalam mengekang asakan barisan pemain muda Kedah dalam perlawanan malam ini.

KOTA BHARU – Nada suara Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kembali mengendur apabila berbicara tentang lawan yang bakal dihadapinya malam ini, Kedah dalam aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Sebaliknya beliau tetap merendah diri dalam menghadapi pasukan Kedah, lawan yang pernah mengecewakan Kelantan dalam saingan kempen Piala FA musim ini.

“Pertemuan malam ini menjanjikan satu perlawanan yang cukup sengit. Saya menghormati kemampuan barisan pemain muda pasukan Kedah. Mereka mempunyai kelebihan kerana beraksi ditempat sendiri dan juga sokongan padu peminat setia Hijau Kuning,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum bertolak ke Alor Setar tengahari semalam.

“Mereka mempunyai barisan pemain muda berkaliber yang sudah bersama sejak beberapa musim lalu. Walaupun terdapat beberapa muka baru musim ini tetapi semangat juang pemain muda mereka tidak boleh dipandang rendah. Kejayaan menjinakkan Terengganu dengan kemenangan 3-0 pada peringkat suku akhir membuktikan skuad kendalian Ahmad Yusoff ini bukan calang-calang pasukan.

“Apa yang penting dalam situasi perlawanan kalah mati seperti ini, pemain Kelantan harus mengekalkan aksi konsisten seperti perlawanan terdahulu, mengekalkan disiplin diatas padang serta memberi tumpuan seratus peratus terhadap perlawanan ini. Kalau elemen itu digabungkan, saya percaya kita boleh mendapat satu keputusan yang baik sebelum membuat perhitungan kedua di Kota Bharu,” katanya.

Sathianathan berkata, disebalik keghairahan para peminat kedua-dua pasukan menghitung nasib pasukan masing-masing, beliau tidak terlepas memikirkan kekusutan yang dihadapinya untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik Kelantan pada perlawanan malam ini.

“Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) kini mengalami demam dan sudah dua hari tidak menjalani latihan. Sementara pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi (Abd Rosid) pula mengalami kecederaan. Seperti biasa, kita juga tanpa Norshahrul (Idlan Talaha) yang akan menjalani penggantungan perlawanan terakhir malam  ini. Itu masalah pasukan Kelantan sekarang.

“Ada bagus juga tanpa kelibat Norshahrul kerana beliau perlu diberi rehat yang cukup sebelum dikerah  bermain perlawanan kedua nanti. Pengganti beliau, Hairuddin Omar menggalas peranan tersebut dengan cukup baik dalam perlawanan lalu.

Sathianathan turut menamakan dua pemain muda Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Mohd Khyril Muhymeen Zamri antara pemain yang mampu memberi ancaman berbahaya kepada Kelantan sekalipun Kedah akan turun tanpa kapten, Mohd Sabri Mat Abu dan tonggak pertahanan Khairul Helmi Johari yang digantung perlawanan.

“Kedua-dua pemain ini perlu diberi perhatian oleh pemain pertahanan Kelantan. Andai benteng pertahanan kita leka mengawal pergerakan pemain ini, pasti aib menimpa Kelantan.

“Begitu pun saya mengingatkan kepada pemain saya bermain seperti biasa malam ini. Main macam biasa sepanjang 90 minit seperti menentang Selangor tempohari. Kita tetap mengamalkan corak permainan berorientasikan serangan. Yang penting kita akan bermain sebagai sebuah pasukan,” katanya.

Sementara itu Sathianathan sekali lagi mengingatkan kepada para penyokong Kelantan yang ke Alor Setar malam ini menjaga disiplin dan tingkah laku sebenar sebagai penyokong setia Kelantan.

“Saya menghargai peranan penyokong Kelantan yang selama ini berdiri teguh di belakang pasukan kita. Datanglah ke stadium malam ini dan menontonlah perlawanan dalam suasana yang menghiburkan tanpa sebarang insiden buruk. Beri sokongan moral kepada para pemain dan hindari pergaduhan,” katanya.

1 comment: