Wednesday, September 1, 2010

UiTM BUKAN TANDINGAN KELANTAN


Pemain Kelantan, Wan Zaman Wan Mustapha (tengah) cuba melepasi halangan Mohd Aizat Jani dalam perlawanan persahabatan malam semalam


KELANTAN 5
Indra Putra Mahayuddin (m-4)
Akmal Rizal Ahmad Rahli (m-25)
Muhd Badhri Radzi (m-34)
Cik Hisamuddin Hassan (m-72)
Khairan Eroza Razali (m-76)

UiTM FC 1
Muhammad Nursalam Zainal Abidin (m-21)

KOTA BHARU – Kelantan mencatat kemenangan besar mengatasi pasukan berstatus kelab, UiTM FC 5-1 dalam aksi serba hambar perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam semalam.

Ini merupakan perlawanan persahabatan pertama skuad The Red Warriors daripada tiga perlawanan yang diatur sebagai persiapan pasukan menghadapi kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

Sebaliknya, bagi pasukan UiTM FC selaku pendatang baru Liga Perdana musim depan, peluang beraksi menentang pasukan Kelantan tidak harus dilepaskan begitu sahaja disamping mengutip pengalaman berguna menentang pasukan bertaraf Liga Super itu.

Kelantan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk memperolehi gol pertama. Minit ke-4, ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin meletakkan Kelantan dihadapan apabila larian solo beliau mudah memperdayakan benteng pertahanan pasukan pelawat seterusnya merembat kencang dalam kotak penalti menewaskan Mohd Ismail Mokhtaruddin untuk menghasilkan gol pertama.

Minit ke-21, UiTM FC berjaya menyamakan kedudukan menjadi keputusan 1-1. Sikap sambil lewa pemain pertahanan Kelantan akhirnya memakan diri sendiri. Bermula hantaran silang oleh ketua pasukan, Fahrul Razi Kamaruddin dari sebelah kiri pintu gol, Muhammad Nursalam Zainal Abidin yang tanpa dikawal mudah menanduk masuk menewaskan Syed Adney Syed Hussien.

Minit ke-25, Kelantan sekali lagi berada dihadapan menerusi penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli. Hantaran pendek oleh Muhd Bahdri Radzi mudah ditampan oleh Akmal Rizal seterusnya meledakkan sepakan dari luar kotak penalti menghasilkan gol kedua Kelantan.

Muhd Badhri Radzi pula menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-34 setelah menanduk mudah hantaran silang Mohd Norfarhan daripada sebelah kiri pintu gol pelawat menyaksikan penjaga gawang sekali lagi mengutip bola didalam gawang sendiri.

Bersambung babak kedua, B Sathianathan menukar kesemua pemain bagi menguji sejauh mana prestasi dan persefahaman dikalangan pemain Kelantan sementara bagi pengendali UiTM FC, Omar Ali mengekalkan barisan pemain sedia ada.

Sementara itu, penampilan pertama kali penjaga gawang Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail setelah digugurkan pada awal musim ini dilihat lebih banyak bersahaja di pintu gol Kelantan.

Kegarangan barisan pemain tuan rumah bermula minit ke-46, apabila Hairuddin Omar nyaris menambah jaringan untuk Kelantan apabila rembatannya melepasi palang pintu gol UiTM FC biarpun hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan.

Aksi lesu pasukan pelawat pada separuh masa kedua menyaksikan tidak banyak percubaan merbahaya dilakukan kecuali pada minit ke-68, itu pun melalui sepakan meliar pemain Mohd Syafiq Aizat Abdul Aziz.

Kelantan memperolehi gol keempat pada minit ke-72 menerusi penyerang veteran, Cik Hisamuddin Hassan yang bijak memanfaatkan peluang menerusi rembatan mudah setelah menyambut hantaran lintang Zul Yusri Che Harun.

Khairan Eroza Razali menutup tirai kemenangan besar dalam perlawanan malam semalam setelah menyempurnakan sepakan penalti setelah Cik Hisamuddin Hassan dijatuhkan penjaga gol gantian, Mohd Hazim Mohd Isa pada minit ke-76.

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN :
KELANTAN : Syed Adney Syed Hussien (Mohd Shahrizan Ismail), Azizi Matt Rose (Sharudy Aziz), Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid (S Subramaniam), Mohd Daudsu Jamaluddin (Mohd Zamri Ramli), Mohd Farisham Ismail (Zairul Fitree Ishak), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin (KP) (Wan Zaman Wan Mustapha), Mohd Norfarhan Muhammad (Muhammad Izuan Salahuddin)(Mohd Syawalruddin), Muhd Badhri Radzi (Zul Yusri Che Harun), S Chanturu (Mohd Nizab Ayub)(Cik Hisamuddin Hassan), dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Hairuddin Omar)(Ramzul Zahini Adenan).
Formasi : 4-4-2

UiTM FC : Mohd Ismail Mokhtaruddin (Mohd Hazim Mohd Isa), Shaiful Hazmi Salleh, Mohamed Faid Mohd Tahir, Saiful Ridzuan Selamat, Mohd Fiqri Abdullah (Mohd Shazlan Abu Bakar), Mohd Akmal Mohd Noor (Mohd Syafiq Aizat Abdul Aziz), Mohd Hisyamuddin Mohd Shaari (Muhamed Suffian Tahir), Fahrul Razi Kamaruddin (KP), Muhammad Nursalam Zainal Abidin, Mohd Aizat Jani (Mohd Asrol Ibrahim), dan Amiridzwan Taj Tajuddin (Mohd Kuizwan Johari).
Formasi : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (4) UiTM FC (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (5) UiTM FC (1)
Sepakan sudut : Kelantan (5) UiTM FC (0)
Sepakan percuma : Kelantan (8) UiTM FC (17)
Offsaid : Kelantan (3) UiTM FC (0)
Kekasaran : Kelantan (16) UiTM FC (8)
Kad kuning : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Dua minit
Penguasaan bola : Kelantan ( 60%) UiTM FC (40 %)

No comments:

Post a Comment