Tuesday, September 7, 2010

FELDA BUAT KELANTAN GIGIT JARI


Ketua Pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin cuba melepasi halangan pemain Felda United, Muhamad Juzaili Samion dalam perlawanan persahabatan malam semalam.

KELANTAN 0

FELDA UNITED FC 1
Fatrurazi Rozi (m-16)

KOTA BHARU – Menguasai perlawanan tetapi gagal memperolehi jaringan. Mempunyai peluang tetapi dipersia-siakan. Begitulah aksi skuad Kelantan dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum mengharungi saingan kempen Piala Malaysia yang bermula depan.

Pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV malam semalam, Kelantan tewas 0-1 kepada juara Liga Perdana musim ini, Felda United FC hasil jaringan Fatrurazi Rozi pada minit ke-16 perlawanan.

Beraksi diatas padang becak, kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan berhati-hati sepanjang perlawanan itu dengan hantaran kurang kemas, kegagalan memanfaatkan peluang serta ketumpulan jentera serangan menjadi sebahagian daripada santapan persembahan Kelantan berbanding lawannya pada perlawanan itu.

Seawal minit ketiga, Kelantan mula mengacah pintu gol Felda United FC melalui tandukan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin hasil sepakan sudut Mohd Norfarhan tetapi jauh tersasar.

Sementara Mohd Norfarhan sendiri turut mempunyai dua peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ke-8 dan 10 perlawanan, tetapi percubaannya terus ke dakapan A Zainal Rabin yang beraksi cemerlang pada perlawanan itu.

Minit ke-16, Felda United FC memperolehi gol kemenangan melalui penyerang Fatrurazi Rozi. Hantaran lintang Amir Shahreen Abd Mubin dari sebelah kiri pintu gol menyaksikan berlaku situasi kelam kalut diantara Syed Adney dan Azizi Matt Rose dalam usaha mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya

Fatrurazi Rozi yang tidak dikawal ketika itu mudah menolak masuk memastikan skuad yang berpengkalan di Lembah Kelang itu mencatatkan kemenangan tipis pada perlawanan malam semalam.

Minit ke-33, Hairuddin Omar terlepas peluang menyamakan kedudukan setelah gagal menyempurnakan lorongan cantik S Chanturu dari sebelah kiri pintu gol pasukan pelawat sementara aksi ‘bicycle kick’ Indra Putra yang tidak menjadi pada minit ke-40 menutup tirai aksi longlai anak buah B Sathianathan pada separuh masa pertama.

Minit ke-36, Felda United sekali lagi hampir menambah jaringan kedua mereka tetapi rembatan ayam tambatannya, Fatrurazi Rozi diselamatkan oleh Mohd Farisham didepan pintu gol Kelantan setelah Syed Adney sudahpun tertewas.

Bersambung babak kedua, Kelantan sebenarnya dilihat menguasai hampir keseluruhan babak perlawanan, tetapi ketumpulan jentera serangan Kelantan menafikan hajat untuk sekurang-kurangnya memaksa perlawanan ini berakhir dengan keputusan seri.

Minit ke-53, A Zainal Rabin sekali lagi menghampakan impian Kelantan apabila menyelamatkan percubaan Mohd Daudsu Jamaluddin sementara ‘half volley’ Indra Putra Mahayuddin menyusul sepuluh minit kemudian sedikit sahaja melewati pintu gol Felda United.

Sementara itu, aksi pemain pertahanan lawan, Rashid Mamud pada minit ke-63 yang melakukan bentesan keras terhadap S Chanturu memaksa pengadil perlawanan melayan kad kuning kepada beliau.

Walaupun gagal mengimbangi corak permainan Kelantan, Felda United yang dibimbing oleh E Elavarasan tetap menampilkan aksi bertenaga biarpun terpaksa mengeluarkan dua pemain yang berasal dari Kelantan, Fatrurazi Rozi dan Muhammad Hardi Ahmad pada pertengahan perlawanan itu.

Sementara aksi longlai pemain Kelantan pula memaksa pengendali, B Sathianathan menukar tujuh pemain dalam perlawanan itu dalam usahamencari gol penyamaan pada perlawanan itu.

Dua percubaan terbaik pada minit-minit akhir akhir perlawanan melalui pemain tengah, Khairan Eroza Razali yang diselamatkan oleh penjaga gawang dan tersasar jauh melepasi palang menutup aksi hambar Kelantan dalam perlawanan ini.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, Kelantan mengalahkan UiTM FC dengan kemenangan 5-1 dan menang mudah 4-0 ke atas T-Team di Kuala Terengganu baru-baru ini.

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN :

KELANTAN : Syed Adney Syed Hussien (Mohd Halim Napi), Azizi Matt Rose, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail (Zairul Fitree Ishak), Mohd Shakir Shaari, Indra Putra Mahayuddin (KP) (S Subramaniam), Mohd Norfarhan Muhammad (Akmal Rizal Ahmad Rakhli), Muhd Badhri Radzi (Khairan Eroza Razali), S Chanturu (Muhammad Zamri Ramli), dan Hairuddin Omar (Mohd Nizab Ayub)
Formasi : 4-4-2

FELDA UNITED FC : A Zainal Rabin, Mohd Khairul Anuar Jamil, Md Hasmarul Fadzir Hassan, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussien (KP), Rashid Mamud (S Harivarman), Ashadi Mohd Yusof (Hasmawi Hassan), Amir Shahreen Abd Mubin (Elias Sulaiman), Mohd Munir Amran, Muhammad Juzaili Samion, Muhamad Hardi Ahmad (Mohd Nizam Abu Bakar) (Mohd Arsyah Mohd Ayob) dan Fatrurazi Rozi (Khairul Izwan Khalid).
Formasi : 4-4-2


STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (7) Felda United FC (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) Felda United FC (2)
Sepakan sudut : Kelantan (8) Felda United FC (2)
Sepakan percuma : Kelantan (21) Felda United FC (7)
Offsaid : Kelantan (1) Felda United FC (6)
Kekasaran : Kelantan (6) Felda United FC (15)
Kad kuning : Kelantan (Indra Putra Mahayuddin, Khairan Eroza Razali) Felda United FC (Rashid Mamud, Mohd Munir Amran)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Tiada
Penguasaan bola : Kelantan ( 55%) Felda United FC (45 %)

No comments:

Post a Comment