Sunday, September 19, 2010

AZMAN LEGA KEBANGKITAN PEMAIN


 AZMAN IBRAHIM

KOTA BHARU – Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim antara individu yang paling lega setelah pasukannya berjaya mencuri tiga mata penting di Kelana Jaya malam semalam.

Dalam pertemuan peringkat kumpulan TM Piala Malaysia, Kelantan berjaya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas tuan rumah, Selangor PKNS FC hasil jaringan penyerang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada m-73 perlawanan.

“Mengutip tiga mata di sini (Kelana Jaya) cukup penting bagi kita setelah tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan ditempat sendiri tempohari. Pemain telah bangkit dan melupakan kekalahan lalu dan mereka memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pemain tidak tertekan walaupun kita mengalami kekalahan tempohari. Mereka realistik, berjanji mahu bangkit mencipta kemenangan dan ini telah dibuktikan dalam perlawanan semalam.

“Kita akan meneruskan rentak kemenangan ini dengan menjadikan sebuah lagi kelab, KL Plus sebagai mangsa kebangkitan kita pada perlawanan Isnin ini.

Sambil mengakui lawan yang dihadapi malam semalam merupakan pasukan yang tidak boleh dipandang mudah, Azman turut memuji persembahan pasukan tuan rumah yang berjaya mengekang asakan pemain Kelantan.

“Pasukan tuan rumah mengamalkan corak permainan bertahan. Ini cukup meyusahkan kita untuk menembusi benteng pertahanan mereka. Malahan serangan balas mereka juga adakalanya mencemaskan pintu gol kita.

“Begitupun, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi menghadapi perlawanan akan datang. Kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan kemenangan ini. Semua pasukan seboleh-bolehnya mahu mengamal corak permainan secara bertahan apabila menentang pasukan kita.

Sementara itu, beliau  turut berpuashati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain gantian yang diturunkan, iaitu Khairan Eroza Razali dan S Chanturu dalam perlawanan itu.

“Khairan Eroza (Razali) menggantikan tempat Muhd Badhri (Radzi) sementara S Chanturu menggantikan Mohd Norfarhan (Muhammad) kerana masalah kecederaan. Saya berpuashati dengan prestasi kedua-dua pemain ini. Tidak ada sebab untuk mereka tidak diturunkan dalam perlawanan akan datang kalau mereka terus mengekalkan aksi seperti perlawanan semalam,” katanya.

No comments:

Post a Comment