Sunday, August 1, 2010

Annuar tepati ramalan, Takiyuddin cipta kejutan


Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU – Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kali ke-47, yang berlangsung di Holiday In Kuala Lumpur Glenmarie, Shah Alam semalam, menyaksikan gandingan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa menepati ramalan setelah kedua-duanya memenangi jawatan Timbalan Presiden FAM bagi penggal 2010/2014.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan sebagai  Presiden FAM yang disandangnya sejak 1984, apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup pada 18 Julai lalu.

Seramai 38 ahli perwakilan daripada 19 ahli gabungan merangkumi 14 persatuan bola sepak negeri, wakil Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia, Persatuan Bola Sepak India Malaysia, serta Persatuan Bola Sepak PDRM dan ATM telah membuang undi pada kongres tersebut.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berjaya memperolehi undian tertinggi sebanyak 29 undi, sementara Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pula meraih 23 undi.

Turut bertanding bagi jawatan itu, penyandang jawatan, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Mokhtar Ahmad.

Sementara itu, dalam perebutan jawatan Naib Presiden pula, Datuk Afandi Hamzah berjaya mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tiga tahun lalu apabila memenangi salah daripada empat kerusi yang dipertandingkan.

Datuk Subahan Kamal menduduki senarai teratas setelah memperolehi undi tertinggi iaitu 28 undi manakala Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin berada ditangga kedua dengan 27 undi.

Datuk Afandi Hamzah, selaku penyandang jawatan dan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Undang-undang FAM kekal untuk tempoh empat tahun lagi setelah mendapat undi ketiga terbanyak dengan 20 undi.

Sementara itu, Naib Presiden I PAFA, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim turut memenangi jawatan itu setelah mendapat 19 undi.

Seramai lapan calon telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu termasuklah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Datuk S Subramaniam dan Datuk Lawrence Gimbang.

Bagi pemilihan jawatan Ahli Eksekutif, seramai 13 calon telah menampilkan diri untuk bertanding bagi merebut lapan kekosongan jawatan.

Kejutan turut berlaku apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan yang merupakan calon dari Kelantan menduduki senarai teratas dalam jawatan tersebut setelah memperolehi undian tertinggi sebanyak 33 undi.
Datuk Takiyuddin Hassan

Sementara itu, calon paling muda dalam perebutan jawatan itu, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail turut berjaya menempatkan diri dikalangan kelompok lapan Ahli Eksekutif itu.

Datuk Astaman Abdul Aziz menduduki kedua dengan memperolehi 32 undi, diikuti Mejar Rani Abdul Rahim 31 undi, S Sivasundaram 31 undi, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khatib 29 undi,  Datuk Osman Salleh 24 undi, Rosmadi Ismail 24 undi dan terakhir sekali Datuk Jeferey Low Han Chau.

Turut bertanding dalam perebutan jawatan itu ialah Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, Datuk Ibrahim Shamsuddin, Datuk Soh Chin Aun, dan Wan Mohd Nizam Wan Omar.

1 comment:

  1. Tahniah untuk barisan kepimpinan baru FAM yang telah di beri mandat. semoga ada perubahan besar dalam FAM utk musim mendatang.

    ReplyDelete