Tuesday, July 20, 2010

KHAIRY BANGGA PENCAPAIAN KELANTAN


 Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Annuar Musa menunjukkan buku'The Red Warriors Menuju Puncak' sewaktu majlis pelancaran buku tersebut di ibu negara petang semalam.
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan rasa bangganya terhadap pencapaian memberangsangkan pasukan Kelantan dalam pentas Liga Malaysia sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan buku ‘The Red Warriors Menuju Puncak’ dan majlis mesra bersama media oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang berlangsung disalah sebuah hotel terkenal di ibu negara petang semalam.

Turut hadir dalam majlis itu, Naib Presiden FAM merangkap Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah, Timbalan Presiden Kafa, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Lawrence Gimbang, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Razali Durhan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamudin Yaakub, Ahli-ahli Majlis Kafa, dan ahli-ahli kelab penyokong. 

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sewaktu ucapannya terdahulu berkata, melahirkan rasa terharunya diatas usaha rakan-rakan seperjuangan didalam Kafa yang berusaha memartabatkan kembali  maruah bola sepak Kelantan.

“Sejak dua tahun lalu, kita telah melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan kembali bola sepak Kelantan, bermula dengan mewujudkan Wisma Kafa, membeli bas Kafa sendiri, menukar logo Kafa agak dilihat lebih dinamik dan mempunyai imej yang baru selanjutnya menjenamakan semula pasukan dengan nama The Red Warriors. 

“Selanjutnya membentuk kelab-kelab penyokong diperingkat negeri dan daerah-daerah, seterusnya disambut oleh anak-anak Kelantan diperantauan di Lembah Kelang didokong oleh Kelate.Net dan TheRedWarrriors.com dan selepas itu dibentuk laman web utama Kafa sehingga pelancaran kafe TheRedWarrriors. 

“Kelahiran buku ini tepat pada masanya menghimpunkan segala susur galur yang menceritakan catatan peristiwa penting Kafa bagi tujuan mengabadikan detik-detik perjalanan sebuah pasukan daripada divisyen tiga ke puncak liga super, dan daripada sebuah yang stadium kosong kini dipenuhi penyokong sama seperti Manchester United,” katanya. 

Menurut Annuar, bola sepak di Kelantan menjadi satu-satu aktiviti sukan yang berjaya menyatukan masyarakat di negeri itu walaupun rakyatnya mempunyai ideologi politik yang berbeza. 

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ucapan berkata, beliau mengagumi peranan Tan Sri Annuar Musa yang berjaya memimpin Kafa dengan berjaya dalam tempoh yang singkat. 

“Saya melihat dengan teliti perkembangan bola sepak di negeri Kelantan sejak Annuar Musa mula mengambil alih tampuk kepimpinan Kafa. Bola sepak di negeri Kelantan mempunyai potensi yang begitu tinggi kerana mempunyai penyokong yang begitu fanatik dan agresif.

“Saya melihat bagaimana keghairahan penyokong Kelantan terserlah pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu. Itu sebenarnya satu tafsiran betapa sayangnya penyokong Kelantan terhadap pasukan bola sepak mereka.

“Semua ini tidak akan terhasil sekiranya tidak ada satu usaha untuk menjenamakan semula bola sepak di negeri Kelantan. Hari ini, saya mengakui bahawa pasukan The Red Warriors adalah satu pasukan yang terbaik di negara kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment