Sunday, July 4, 2010

KELATE.NET IKTIRAF SUMBANGAN ANNUAR MUSA

Rosmadi Ismail (enam dari kanan) bersama pihak pengurusan dan pemain
Liga Super Kelantan melaungkan slogan 'Gomo Kelate Gomo' pada
majlis makan malam bersama peminat Kelantan di ibu negara pada malam 2 Julai

KUALA LUMPUR – Kemuncak siri lawatan pihak pengurusan dan pemain Liga Super Kelantan ke ibu negara sempena  meraikan Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK) 2010 peringkat Lembah Klang berakhir dengan majlis makan malam yang berlangsung dengan meriah di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur malam semalam.
Hadir menyerikan majlis tersebut ialah Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail yang mewakili Presiden Kafa, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah, Bendahari Kafa, Nik Aminaldin Nik Jaafar, dif-dif kehormat serta pihak pengurusan dan pemain Liga Super Kelantan.
Majlis makan malam bersama pemain bola sepak Kelantan itu dihadiri hampir 300 orang dan merupakan salah satu program yang dianjurkan oleh Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Serentak dengan majlis itu, bagi menghargai sumbangan besar Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa diatas usaha gigih beliau memartabatkan bola sepak Kelantan, pihak Kelate.Net telah menyampaikan anugerah dan mengiktirafkan beliau sebagai ‘Bapa Pembangunan Bola Sepak Negeri Kelantan Darul Naim’.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Marhasyim Mat berkata, beliau mewakili kelab tersebut mengucapkan terima kasih kepada Kafa yang memberi peluang kepada Kelate.Net menganjurkan pelbagai program sempena Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK) 2010 peringkat Lembah Klang.
Marhasyim Mat
“Kami telah mengadakan sesi beramah mesra diantara peminat dengan pemain Kelantan di Putrajaya pada 30 Jun, selain mengatur perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Muda di Selayang pada 1 Julai dan kemuncaknya majlis makan malam pada malam ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
“Kita mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan, jurulatih dan kesemua pemain di atas pencapaian terkini menduduki tangga kedua liga, dan Insya Allah kita berharap sekurang-kurangnya satu piala dapat dibawa pulang ke Kelantan pada tahun ini.
“Kami di Kelate.Net akan terus berperanan sebagai medium allternatif menyampaikan segala info berkaitan bola sepak Kelantan sejajarkan dengan 11 tahun kewujudan kami dan akan berdiri teguh memberi sokongan kepada pihak Kafa,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail dalam ucapannya berkata, menyatakan kekagumannya diatas pencapaian hebat Kelate.Net sebagai kelab penyokong terbesar di Lembah Kelang.
“Bukan mudah untuk menganjurkan majlis yang sebegini besar, tetapi kemampuan Kelate.Net menganjurkan pelbagai program sempena TBSK 2010 di Lembah Kelang harus diberi pujian.
“Pihak Kafa mengucapkan tahniah kepada Kelate.Net yang muncul sebagai laman web nombor dua paling popular di negara kita pada tahun lalu dan kita berharap mereka akan terus menyokong dan berdiri teguh di belakang Kafa,” katanya.
Majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan negeri Kelantan selain daripada cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah yang menarik sumbangan syarikat peralatan sukan Figos manakala syarikat Red Bull Malaysia serta majalah Stadium turut juga menyumbangkan produk keluaran masing-masing.
Sementara itu, para peminat bola sepak Kelantan yang menghadiri majlis makan malam itu tidak melepaskan peluang bergambar bersama pemain Liga Super Kelantan pada majlis tersebut.

1 comment:

  1. sepatut kelate layok buleh anugerah penonton terbaik kalu tak dok segelintir hok kapom2

    ReplyDelete