Thursday, May 13, 2010

KELANTAN RATAH JOHOR



KOTA BHARU – Kembali temui rentak kecemerlangan. Daripada hampir diaibkan oleh Pahang di Kuantan minggu lalu, Kelantan kembali bangkit mengutip tiga mata penting di Larkin. 

Pada perlawanan tunggal Liga Super malam kelmarin, Kelantan berjaya mengalahkan Johor 4-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Pemain tengah kreatif, Muhd Badhri Radzi muncul wira Kelantan apabila menjaringkan dua gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-15 dan 44.

Sementara itu, ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin turut mengukir nama sebagai penjaring gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-32.

Gol sendiri pemain pertahanan tuan rumah, Radzi Jasman pada minit ke-77 akhirnya menutup ruang buat anak buah Eddress Selamat untuk melakar kejutan ke atas Kelantan.

Manakala gol tunggal pasukan tuan rumah telah dijaringkan oleh Rosaiful Nizam Omar pada minit ke-21.

Beraksi diatas padang yang becak, ternyata tidak menghalang pasukan bimbingan B Sathianathan untuk melakarkan kemenangan kesembilan daripada 15 perlawanan setakat ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan antara individu paling gembira di atas kejayaan The Red Warriors menundukkan pasukan selatan tanah air itu.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini. Walaupun bermain dalam padang yang becak kerana hujan turun dengan lebat sebelum perlawanan, tetapi anak-anak buah saya tetap mempamerkan persembahan yang baik, “ katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Sathianathan berkata, pujian seharusnya diberikan kepada barisan pemain Kelantan yang tidak patah semangat biarpun pada suatu ketika pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan.

“Semua pemain menunjukkan persembahan yang bagus. Saya tidak ada rungutan mengenai persembahan keseluruhan pemain Kelantan kerana mereka memberikan apa yang saya mahukan pada perlawanan itu.

“Mereka (pemain) mengambil iktibar daripada perlawanan di Kuantan minggu lalu. Semangat juang yang tinggi mereka bawa ke sini (Larkin) dan kita semenangnya berhak menang pada perlawanan ini.

“Walaubagaimanapun, saya percaya masih ada ruang untuk kita memantapkan persembahan pasukan sebelum menghadapi pasukan jiran tetangga, Terengganu hari Sabtu ini, “ katanya.

Sementara itu, B Sathianathan berkata, pemain pertahanan Zairul Fitree Ishak terpaksa dikeluarkan walaupun permainan baru berlangsung kerana mengalami kecederaan akibat dibentes pemain tuan rumah.

“Zairul Fitree (Ishak) mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan dengan Terengganu. Kecederaan yang dialami oleh beliau agak teruk, tetapi kita tetap berharap semoga dia segera sembuh.

Agak menarik untuk diperkatakan, Kelantan merupakan satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas apabila bermain digelanggang luar setakat ini.

Kemenangan ini ternyata mengukuhkan kedudukan Kelantan ditangga kedua persada liga dengan mengumpul 32 mata walaupun telah bermain lebih satu perlawanan berbanding dengan pasukan yang lain.

1 comment: