Tuesday, January 12, 2010

Preview : Kelantan lwn Johor



PERHITUNGAN DUA BEKAS PENGENDALI KEBANGSAAN DI KOTA BHARU

KOTA BHARU - Keputusan seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu tempohari dilihat satu permulaan yang cukup baik bagi The Red Warriors memulakan aksi sulung dalam kancah TM Liga Malaysia musim ini. Mengheret Terengganu berkongsi mata dan dalam masa yang sama menguasai hampir keseluruhan perlawanan membuktikan pasukan Kelantan wajar diletak antara pasukan pilihan musim ini.

Justeru, sentuhan B.Sathianathan sekali lagi teruji tetapi kali ini di gelanggang keramat – menantikan aksi sulung buat pertama kalinya musim ini menentang Johor di venue Kota Bharu. Tidak sukar menyatakan bahawa pertemuan dengan Johor pada perlawanan ini seharusnya berpihak kepada Kelantan.

Untuk rekod, pertemuan Kelantan-Johor pada musim lalu hanya dicatatkan pada perlawanan TM Piala FA. Di Kota Bharu, Kelantan meratah Johor dengan kemenangan bergaya 4-0. Sementara di Larkin, Johor membalas dendam setelah menang dengan jaringan 3-0.

Antara B.Sathianathan dan Nasir Yusoff – kedua-duanya tidak asing lagi dalam peringkat bola sepak kebangsaan. Nasir Yusoff pernah menjadi pembantunya pada saingan kelayakan Pra Piala Asia tahun lepas. Khidmat Nasir Yusoff dan Lim Chuan Chin ditamatkan lebih awal oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) angkara kekalahan memalukan kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Sementara khidmat B.Sathianathan turut ditamatkan selepas itu rentetan kritikan pedasnya terhadap badan induk bola sepak kebangsaan.

Membentuk sesebuah pasukan yang mantap untuk beberapa musim ternyata menjadi kesukaran buat mana-mana jurulatih termasuklah The Profesor. Pasukan Johor semenjak beberapa musim kebelakangan ini terus bergelut untuk mengekalkan pemain yang boleh mampu menabur bakti untuk jangka masa yang lama. Bezanya Kelantan telah melalui zaman suram tersebut tiga tahun yang lalu dan kini beberapa pasukan negeri seperti Johor, Perak, Melaka dan Pahang memerlukan tempoh beberapa tahun akan datang untuk kembali menguasai liga tempatan.

Johor tidak segah seperti sepuluh tahun dahulu. Zaman para pemain seperti Rusdee Sulong, Bakhtiar Othman, Hasnizam Uzir, Azmil Azali, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim, Nazaruddin Atan, Sani Othman, Rizal Sukiman, Liew Kim Tu dan Omar Salim menghiasi kesebelasan utama pasukan Jengking itu.

Biarpun Nasir Yusof dibantu oleh dua bekas pemain negeri musim ini, Salehan Mohd Som dan Othman Katmon namun penghijrahan hampir separuh pemain musim lalu yang membawa pasukan Johor beraksi dalam kancah Liga Super musim ini merupakan tamparan yang cukup hebat buat PBNJ. Tambah memeritkan Nasir Yusoff bila dua orang pembantunya tidak akan bersama-sama dengannya di bangku simpanan semasa perlawanan disebabkan belum mempunyai lesen kejurulatihan.

Diatas kertas, pasukan Si Jengking itu dianggap pasukan yang masih ‘hijau’ pada saingan Liga Super musim ini. Musim ini mereka terpaksa mendapatkan khidmat beberapa pemain luar seperti K.Puvinderan Naidu (Perak), Muhammad Redzuan Radzy (KM Naza), Mohd Faizal Mohd Yusoff (P.Pulau Pinang), Hishamudin Othman (Kuala Lumpur) bahkan ketua pasukan mereka musim ini, Muhd Irfan Abd Ghani yang sebelum ini beraksi bersama Harimau Muda merupakan ketua pasukan paling muda dalam aksi Liga Super setakat ini.

Aksi pertama mereka di gelanggang sendiri Sabtu lalu menyaksikan Johor kecundang 0-3 kepada Kedah.

Jadi buat pengendali Kelantan, B.Sathianathan segala-galanyanya tampak tidak menjadi masalah untuk pasukan bimbingannya meraih tiga mata pertama di hadapan penyokong setia Rabu ini.

Keputusan seri tanpa jaringan dengan Terengganu disifatkan sebagai kemenangan moral buat pemain. Ujian di Kuala Terengganu sudah pun lulus. Yang nyata aksi sulung di Kota Bharu cukup dinantikan oleh puluhan ribu penyokong setia Merah Putih.

Melihat aksi kesebelasan utama Kelantan yang beraksi di Kuala Terengganu tempohari, semuanya serba lengkap buat Kelantan. Kita menguasai hampir keseluruhan permainan di tempat lawan. Jadi mengapa tidak dengan barisan yang sedia ada, kita tidak mampu menang besar ke atas pasukan selatan tanah air kali ini.

Tidak mahu mendabik dada tetapi kemenangan hampir pasti milik Kelantan di Kota Bharu. Pasukan Johor akan menjadi pasukan yang pertama musim ini merasai suasana bermain dihadapan lebih 20 ribu penyokong setia Merah Putih. Pastinya itu merupakan satu iguan ngeri buat mana-mana pasukan untuk bermain dihadapan penyokong fanatik Kelantan apatah lagi mencipta kejutan di Kota Bharu.

Lupakan sahaja Johor, Stadium Sultan Muhammed Ke-IV sentiasa menghadirkan keputusan mengecewakan buat pasukan pelawat yang bertandang.

sumber berita daripada www.kelate.net ( terima kasih kepada Tinta Merah )

2 comments: