Saturday, December 3, 2011

KELANTAN TAK SABAR HADAPI LIGA-M

Penampilan pemain muda Khairul Izuan Rosli (berjersi merah) dalam beberapa siri perlawanan persahabatan turut membanggakan pihak pengurusan Kelantan.
 
KOTA BHARU – Empat kemenangan daripada lima perlawanan termasuk mengalahkan skuad kebangsaan Maldives 2-1 dalam persiapan pra-musim di luar Kota Bharu yang berakhir Khamis lalu membuktikan skuad The Red Warriors kini sememangnya sudah bersedia menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
 
Selain mengalahkan skuad kebangsaan Maldives itu, skuad The Red Warriors menang bergaya 3-0 ke atas kelab Balistier Khalsa FC (Singapura), menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-2, mengatasi Perak 3-1 namun tewas 1-3 kepada juara Piala Malaysia musim ini, Negeri Sembilan.
 
Disebalik persembahan memberangsangkan dalam perlawanan tersebut, namun peringatan keras turut dilontarkan oleh Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim yang tidak mahu pemainnya dibuai khayalan sebaliknya kembali memberikan tumpuan sebaik sahaja menyambung latihan di Kota Bharu selepas ini.
 
“Memang saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain kita sepanjang mengharungi lima perlawanan tersebut. Ya ada peningkatan dan saya fikir ini merupakan satu perkembangan yang positif bagi pasukan kita.
 
“Walau bagaimanapun kita tidak mahu terlalu yakin kerana ini merupakan perlawanan persahabatan sahaja. Apa jua kelemahan yang ada, perlu kita perbaiki segera kerana saingan liga akan bermula lebih kurang sebulan lagi.  
 
“Kesemua pemain yang diturunkan sepanjang aksi tersebut mempamerkan persembahan terbaik termasuklah beberapa pemain muda yang sedang digilap secara berterusan menerusi pendedahan perlawanan demi perlawanan oleh Ketua Jurulatih, Peter James Butler,” katanya.
 
Menurut Azman, perkembangan tersebut sedikit sebanyak memberikan gambaran awal betapa perebutan tempat di dalam kesebelasan utama untuk musim depan pasti sengit dalam kalangan pemain The Red Warriors.
 
“Jika mahu berada dalam kesebelasan utama mereka perlulah bekerja lebih keras. Hanya yang terbaik dan berupaya memikat hati Butler sahaja layak mendapat tempat. Itu sahaja pesanan saya kepada semua pemain.
 
Sementara itu, Azman turut menjelaskan setakat ini pihak pengurusan belum memutuskan pemain import mana yang akan didaftarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan meskipun ketiga-tiga mereka menampilkan persembahan yang cemerlang setakat ini.
 
“Mereka (Denny Antwi, Emmanuel Okine dan Mohammed Ghaddar Mahmoud) menunjukkan persembahan yang bagus. Namun kita masih belum buat keputusan dan kita serahkan kepada Ketua Jurulatih untuk menentukan siapa yang layak beraksi dalam Liga Malaysia,” katanya.
 
Dalam perkembangan lain, semua barisan pemain Kelantan diberi cuti rehat sehingga esok dan akan menyambut latihan pada Isnin ini sebelum dijadual bertemu dengan pasukan T-Team dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Kota Bharu pada 10 Disember ini.

1 comment:

  1. tengahari ari nim, presiden nok umum gapo namo ghima pulok tuh? keno gi cover story tuh

    ReplyDelete