Thursday, December 8, 2011

FAM SEDIA KAJI SEGALA PANDANGAN

Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia meneliti sebarang cadangan yang dikemukakan oleh persatuan bola sepak negeri bagi menambahbaik struktur Liga Malaysia (Liga-M) untuk musim depan.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, selaku badan induk bola sepak kebangsaan, pihaknya akan bersikap terbuka dan mengambil kira segala pandangan yang dikemukakan oleh ahli gabungannya bagi memastikan segala kelemahan dapat diperbaiki bagi meningkatkan mutu pertandingan liga bola sepak tempatan itu.

“Saya berharap seminar yang dianjurkan oleh FAM itu menjadi platform kepada persatuan bola sepak negeri untuk menyampaikan segala pandangan serta maklum balas dan kita bersedia mengkaji setiap perkara dikemukakan oleh mereka nanti.

“Sebelum ini saya menerima banyak luahan secara ‘adhoc’ daripada persatuan bola sepak negeri. Kita tidak mahu apabila pertengahan liga pelbagai rungutan ditimbulkan. Seeloknya biarlah sebelum saingan liga bermula segala maklum balas dapat dikemukakan terus kepada kita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mengenai persiapan terkini pasukan Liga-M Kelantan di Kafe The Red Warriors, di sini semalam.

Taklimat dan seminar Liga-M musim 2012 itu akan berlangsung selama dua hari bermula 13 hingga 15 Disember ini disalah sebuah hotel di Shah Alam.

Menurut Annuar, dalam seminar tersebut segala penerangan mengenai perjalanan liga akan diperjelaskan oleh beberapa jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT, Jawatankuasa Status selain Malaysia Super League (MSL), badan yang bertanggungjawab mengurus tadbir Liga-M itu.

“Bila liga hendak bermula, banyak pasukan negeri sebenarnya tidak tahu berapa nilai hadiah bagi setiap kejohanan. Begitu juga kontroversi harga tiket (perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini) baru-baru ini. Saya fikir perkara seperti ini harus diperjelaskan sebaik-baiknya.

“Begitu juga soal deposit wang. Ada yang masih keliru sama ada perlu dikembalikan kepada pasukan negeri masing-masing atau dibawa ke musim depan sedangkan akaun perlu ditutup pada setiap hujung tahun.

“Soal deposit wang tiga bulan untuk pemain import juga masih ramai yang keliru. Kalau deposit itu tidak dikembalikan adakah FAM perlu membayar gaji terakhir untuk tiga bulan kepada pemain import itu. Perkara seperti ini sepatutnya dibincangkan secara kolektif oleh semua ahli gabungan,” katanya.

No comments:

Post a Comment