Saturday, October 15, 2011

MOTIVASI TINGGI BENAM TERENGGANU


KOTA BHARU – ‘Motivasi kami cukup tinggi untuk menewaskan Terengganu.’ Demikian kata-kata semangat yang dilontarkan oleh Penolong Ketua Pasukan, Norshahrul Idlan Talaha menjelang pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia, Kelantan menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Sekalipun ketinggalan dua gol rentetan kekalahan 1-3 tempohari, namun penyerang terbilang Kelantan itu tidak mahu terus meratapi kekecewaan tersebut sebaliknya pantas  menyuntik motivasi kepada rakan pasukannya untuk mencipta kebangkitan luar biasa apatah lagi mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri malam ini.

“Kami akan berjuang habis-habisan daripada tiupan wisel permulaan sehingga penamat. Itu janji kami kepada penyokong setia Kelantan. Kita akan tampilkan kejutan luar biasa bagi memastikan kita mara ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Kalau dikira defisit dua gol itu nampak sukar namun saya percaya dalam bola sepak semuanya tidak mustahil. Malah saya sentiasa meletakkan kepercayaan kepada rakan sepasukan yang lain betapa kita mampu merealisasikan misi sukar ini menjadi kenyataan.

“Kita akan turun dengan penuh semangat dan menanamkan keyakinan tinggi untuk menang. Tekad kita ialah memburu gol pertama seawal yang mungkin dan saya fikir kehadiran gol itu sudah pasti bakal mengubah rentak dan suasana dalam perlawanan tersebut,” katanya. 

Menurut Norshahrul Idlan atau terkenal dengan panggilan ‘Matyo’, beliau tetap optimis dengan percaturan Ketua Jurulatih, Datuk M Karathu yang mampu menyenaraikan barisan terkuat pasukan Kelantan sekalipun turun tanpa tiga tonggak utama yang terpaksa menjalani hukuman penggantungan perlawanan.

Sementara itu, tonggak pertahanan, S Subramaniam juga turut melaungkan keyakinan yang sama betapa perjuangan The Red Warriors tidak akan berakhir hanya dalam saingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

“Peluang masih ada dan kita akan berikan tentangan sengit kepada pasukan Terengganu. Kita tidak akan menyerah kalah malah tempoh 90 minit itu akan kita manfaatkan sebaik mungkin dengan mencipta kebangkitan luar biasa.


“Biarpun ketinggalan defisit dua gol, itu tidak bermakna tekanan kepada kita. Saya percaya semua rakan sepasukan yang lain sudah tidak sabar untuk menghadapi Terengganu sekali lagi malam ini. Janji saya, kita akan keluar selaku pemenang dan layak ke separuh akhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment