Saturday, October 15, 2011

PEMINAT YAKIN KELANTAN MARA

MAHIZI 

KOTA BHARU – ‘Kelantan mampu bangkit mengatasi Terengganu’ Begitulah keyakinan yang diluahkan oleh penyokong setia Kelantan menjelang pertemuan suku akhir kedua, Kelantan menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Biarpun ketinggalan dua gol namun penyokong The Red Warriors tetap percaya skuad kendalian Datuk M Karathu itu mampu bangkit untuk menewaskan Terengganu dengan jaringan yang besar di hadapan penyokong sendiri.

Terengganu bertandang ke Kota Bharu dengan kelebihan dua gol setelah menewaskan Kelantan 3-1 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu, tempohari.

Timbalan Presiden, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood berharap penyokong setia Kelantan memenuhi setiap inci ruang gelanggang keramat bagi memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan malam ini.

“Kita sebagai pemain kedua belas The Red Warriors perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi. Bukan ejekan atau cercaan sebaliknya sokongan seratus peratus amat diperlukan bagi membakar semangat pemain yang berjuang di atas padang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Saya berharap perlawanan malam ini akan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang gangguan daripada penyokong. Pengalaman ketika final Piala FA lalu, dimana pasukan kita tewas dalam masa tambahan angkara tindakan penyokong membaling mercun harus menjadi iktibar.

ROZAMRI

“Kita masih mempunyai masa 90 minit dan saya yakin Kelantan mampu bangkit dalam perlawanan malam ini. Kepada pemain, berjuanglah habis-habisan demi maruah bola sepak negeri ini. Kalau peminat yakin, pemain juga mesti yakin kita mampu menewaskan Terengganu malam ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Rozamri Mohd Ali berkata, doa dan harapan peminat mengiringi perjuangan barisan pemain Kelantan yang sudah pasti akan turun bermain mati-matian malam ini.

“Kita mahu pemain melangkah masuk ke padang dengan keyakinan yang tinggi. Tidak ada sebab untuk kita mengaku kalah kerana perjuangan kita belum berakhir. Dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku.

“Kalau Terengganu dapat mengalahkan kita di tempat mereka tempohari, kita juga boleh mengulangi perkara yang sama ke atas mereka. Saya percaya kita dapat memadamkan kelebihan dua gol yang mereka miliki itu,” katanya.

Sementara itu Rozamri berharap para peminat dapat menunjukkan disiplin yang tinggi dan tidak mencetuskan provokasi yang mana boleh menggangu tumpuan pemain Kelantan pada perlawanan malam ini.

No comments:

Post a Comment