Saturday, October 15, 2011

MISI HIDUP MATI KELANTAN

Karathu menyampaikan amanat terakhir dalam sesi latihan skuad Kelantan bagi menghadapi Terengganu dalam saingan suku akhir kedua, malam ini.

KOTA BHARU – ‘Misi hidup mati Kelantan’ Segalanya terarah kepada baki tempoh 90 minit pada pertemuan getir suku akhir kedua Piala Malaysia, Kelantan menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Sama ada tersingkir awal atau melangkah ke saingan seterusnya, untung nasib juara bertahan, The Red Warriors kini hanya bergantung kepada pertembungan kali kedua menentang juara Piala FA itu.

Bagi Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu, beliau tetap berfikiran positif sambil menyifatkan pasukan kendaliannya mampu mengatasi detik sukar menyingkirkan pasukan Terengganu berbekalkan sokongan peminat di halaman sendiri malam ini.

“Terengganu mempunyai defisit dua gol dan kelebihan itu perlu kita hapuskan ke atas mereka. Pertemuan ini berkisarkan kepada faktor psikologi kerana suka atau tidak kita perlu menang dengan kelebihan dua gol,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Saya akui kita berhadapan satu tugas berat tetapi saya turut mempunyai keyakinan yang tinggi kita mampu bangkit mengatasi Terengganu dalam perlawanan ini. Tidak kiralah sama ada 2-0, 3-1 atau lebih daripada itu yang penting kita perlu menang.  

“Kalau kita mempamerkan aksi permainan seperti di Kuala Terengganu tempohari meskipun beraksi dengan lapan pemain, tidak ada alasan untuk kita tidak boleh mengatasi Terengganu malam ini,” katanya.

Dalam sesi latihan terakhir petang semalam, Karathu tampak lebih tenang mengendalikan latihan pasukannya malah tidak ada sedikit pun kerisauan pada raut wajah pengendali berusia 68 tahun itu dalam memikirkan pertemuan menentang negeri berjiran itu.

Menurut Karathu, usaha memburu gol seawal mungkin perlu dilakukan memandangkan pasukan lawan sudah pasti merencanakan strategi tersendiri dalam mempertahankan kelebihan dua gol yang mereka miliki itu.

“Saya arahkan pemain saya tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang cuba dicetuskan oleh pemain Terengganu. Saya tahu kita sentiasa mengamalkan corak permainan cantik dan ini merupakan falsafah bola sepak yang kita terapkan selama ini.

“Tanpa tiga tonggak yang terpaksa diketepikan namun saya mempunyai banyak pilihan (pemain) untuk melakukan rombakan ke atas pasukan kita. Tapi perkara itu masih menjadi rahsia kepada saya untuk menamakan barisan pemain yang akan diturunkan malam esok,” katanya.

Dalam pada itu, Karathu juga turut menjelaskan moral pemainnya berada ditahap terbaik bagi menghadapi skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu malah mereka sentiasa mendapat suntikan semangat daripada pihak pengurusan pasukan.

“Satu perkara pemain perlu tahu ialah mereka harus mempercayai kemampuan diri sendiri. Kalau mereka masuk ke dalam padang dengan semangat seperti itu dan bermain mati-matian, saya percaya kita mampu mara ke saingan separuh akhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment