Thursday, October 13, 2011

KAFA PERTINGKATKAN KAWALAN KESELAMATAN

ANNUAR 

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan bagi mencegah daripada berlakunya sebarang insiden buruk dalam pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia, di antara Kelantan menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.
 
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan khusus dengan pihak keselamatan bagi memastikan perlawanan sengit di antara kedua-dua pasukan itu dapat dilangsungkan dengan lancar tanpa insiden buruk berlaku.
 
“Pemeriksaan rapi akan dilakukan ke atas setiap penyokong yang memasuki stadium bagi memastikan tidak ada sebarang bahan terlarang seperti botol minuman, mercun dan bunga api dibawa masuk yang mana boleh menggangu dan mencederakan orang ramai.
 
“Selain itu, anggota keselamatan yang berpakaian biasa juga akan ditempatkan di dalam kawasan stadium sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini. Untuk mengelakkan berlakunya kesesakan, pintu masuk stadium akan dibuka seawal jam enam petang.
 
“Kita minta para penyokong Kelantan berikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa. Jangan cetuskan provokasi dan berikan sokongan dengan semangat kesukanan yang tinggi. Khidmat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga turut dikerah bagi memantau sepanjang perlawanan ini,” katanya.
 
Dalam perkembangan yang sama,  Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Kawalan Pintu dan Tiket Kafa, Datuk Othman Zakaria berkata, tiket perlawanan membabitkan pertemuan suku akhir kedua ini akan dijual hari ini bermula jam sembilan pagi.
 
“Kita memutuskan jualan tiket dilakukan sehari awal (hari ini)  sebelum perlawanan bagi membolehkan para peminat mendapatkannya lebih awal. Sekiranya tidak habis dijual, kita akan menjual pada hari perlawanan tersebut (Jumaat).
 
“Peminat boleh mendapatkan tiket di kaunter tiket perkarangan stadium. Untuk pemegang tiket tempat duduk astaka, kita nasihatkan mereka tidak membawa anak mereka memandangkan tempat duduk adalah terhad.
 
“Kafa memperuntukkan sebanyak 20,000 keping tiket dijual untuk perlawanan ini. Sehubungan itu saya berharap para penyokong tidak panik untuk mendapatkan tiket tersebut. Nasihat saya jangan beli daripada ulat sebaliknya beli terus di kaunter yang kita tetapkan,” katanya.

Pemeriksaan badan akan dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas setiap penyokong yang memasuki stadium pada perlawanan malam esok. 

Menurut Othman, pihaknya turut menyediakan ruang untuk para penyokong menunaikan solat di dalam stadium.
 
Pihak Kafa menetapkan harga tiket bagi perlawanan ini ialah RM5 untuk kanak-kanak, RM15 (tempat duduk terbuka), RM20 (astaka dua) dan RM30 bagi tempat duduk astaka utama.

2 comments: