Saturday, October 1, 2011

KELANTAN UJI ENAM AWANG IMPORT

Josip Bonacin ketika beraksi bersama Kelantan dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Pelita Jaya FC dari Indonesia di Kota Bharu, pada Julai lalu.

KOTA BHARU – Juara Liga Super musim ini, Kelantan memulakan persiapan awal dengan menguji enam pemain import bagi menghadapi saingan lebih mencabar dalam Liga Malaysia termasuk menyertai Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, enam pemain yang dimaksudkan ialah dua dari Ghana, Ivory Coast, Croatia dan Nigeria akan tiba dalam masa terdekat bagi menjalani sesi pemilihan bersama skuad Kelantan.

“Kita tidak mahu mengambil masa terlalu lama untuk menyiapkan pasukan. Saingan liga sudah pasti mencabar lebih-lebih lagi kita akan beraksi dalam kejohanan antarabangsa yang lebih kompetetif iaitu Piala AFC pada tahun depan,” katanya dalam sidang media, semalam.

“Kita akan mendaftarkan tiga pemain import bagi menghadapi Liga Malaysia walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan hanya dua pemain import boleh didaftarkan beraksi untuk musim depan.

“Seorang lagi pemain import kita akan pinjam daripada negara Asia bagi tujuan untuk Kejohanan Piala AFC sahaja. Ini bermakna Kelantan akan mempunyai empat pemain import di mana dua pemain import akan beraksi dalam Liga Malaysia manakala untuk saingan Piala AFC kita akan menggunakan kesemua empat pemain import tersebut bagi memenuhi kuota yang ditetapkan oleh AFC,” katanya.

Menurut Annuar, beliau tidak mahu penyertaan Kelantan ke Kejohanan Piala AFC itu sekadar suka-suka atau pendedahan untuk pemainnya sebaliknya menganggap ia satu tanggungjawab yang berat kerana membawa cabaran negara.

“Kita tidak mahu pergi ke Kejohanan Piala AFC dengan keadaan tempang. Ini merupakan pertandingan kompetetif tinggi. Selain perlu mempertahankan kejuaraan liga, kita juga dipilih bagi menghadapi perlawanan juara-juara liga (juara Liga Malaysia dan juara Liga-S) pada tahun depan.

“Jadi kita perlu memperkasakan pasukan dan kita juga sedang mengintai pemain bertaraf kebangsaan untuk menyarung jersi Kelantan pada musim depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment