Sunday, September 18, 2011

PAMER PERWATAKAN SEBENAR

Muhd Badhri (kanan) perlu lebih realistik dan tidak bersikap tamak didepan pintu gol Sarawak
 
KOTA BHARU – Suka atau tidak, penyandang juara, Kelantan tidak mempunyai pilihan selain perlu mengalahkan Sarawak dalam pertemuan pusingan kedua peringkat Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
 
Tatkala sisa perjuangan skuad bimbingan Robert Alberts hampir terpadam dalam saingan Piala Malaysia musim ini angkara tiga kekalahan berturut-turut, skuad The Red Warriors pula harus tampil dengan skrip baru daripada aksi kurang menyakinkan dalam pusingan pertama kepada lebih agresif sebaik sahaja perlawanan pusingan kedua bermula malam ini.
 
Pertemuan malam ini bakal menjadi ujian penting kepada Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang cukup positif betapa pasukan kendaliannya mampu mempamerkan kebangkitan luar biasa mengharungi pusingan kedua ini.
 
Gandingan dua penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Azammuddin Mohd Akil yang kemarau jaringan sejak dua perlawanan lalu perlu tampil garang. Sentuhan Norshahrul Idlan yang terkenal dengan kemahirannya memperdayakan pemain lawan dalam sudut sukar sekali lagi ditagih manakala Azammuddin yang mempamerkan disiplin terpuji diatas juga berperanan sebagai pemusnah dalam pertemuan malam ini.
 
Kelibat dua pemain lipas kudung, Mohd Nurul Azwan Roya dan S Chanturu hampir pasti diberi tanggungjawab untuk menerajui kedua-dua bahagian sayap sementara Mohd Shakir Shaari yang cemerlang dalam perebutan bola juga tetap menjadi sandaran Karathu diposisi tengah.
 
Sementara itu, aksi Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi juga bakal menjadi perhatian setelah mensia-siakan beberapa peluang terbaik dalam perlawanan lalu. Dia harus bersikap realistik dan bijak memanfaatkan peluang yang terhad dengan menjaringkan gol dalam tempoh 90 minit ini.
 
Dalam pada itu, benteng pertahanan sebenarnya dianggap tidak mempunyai masalah walaupun membenarkan gawang dibolosi tiga gol setakat ini. Rangkaian Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail dan Mohamad Ab Aziz Ismail tampak sukar digugat malah masih mendapat kepercayaan daripada Karathu
 
Sementara itu, penjaga gol Mohd Shahrizan Ismail yang melepaskan dua gol dalam pertemuan dengan KL Felda United FC juga perlu kembali kepada prestasi sebenar dalam perlawanan malam ini. Tanpa kelibat Khairul Fahmi Che Mat, harapan peminat sudah pasti bersandarkan kepada dia yang mempunyai pengalaman luas menghadapi perlawanan sepenting ini.
 
Bertemu dengan Sarawak malam ini menjadi titik tolak kepada The Red Warriors untuk menjelmakan perwatakan sebenar setelah disuntik semangat baru oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam satu pertemuan tertutup bersama semua pemain hampir dua jam, petang semalam.

1 comment: