Sunday, September 18, 2011

MISI WAJIB MENANG - KARATHU

KARATHU
 
KOTA BHARU – “Misi wajib menang” Begitulah arahan ringkas Ketua Jurulatih, Datuk M Karathu kepada para pemainnya menjelang pertemuan Kelantan menentang Sarawak dalam perlawanan pusingan kedua peringkat kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
 
Andai mahu mengetuk pintu suku akhir lebih awal, Kelantan tidak mempunyai pilihan selain perlu mengalahkan Sarawak dan ini diakui sendiri oleh Karathu yang mahu para pemainnya memanfaatkan peluang beraksi ditempat sendiri dengan mengutip tiga mata penting malam ini.  
 
“Saya menjangkakan kita bakal mendapatkan tentang sengit sekali lagi daripada Sarawak. Mereka sudah pasti akan bermain secara bertahan dan hanya bergantung kepada serangan balas pantas sekali-sekala,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
 
“Namun saya sudah bersedia menghadapi situasi tersebut sekali lagi. Kali ini kita perlu lebih bersedia dengan memperkemaskan benteng pertahanan dan kita tidak boleh hilang penguasaan bola serta perlu menampilkan permainan lebih kemas malam ini.
 
“Sarawak sudah tiga kali kalah dan moral pemain mereka juga sudah menurun. Ini peluang terbaik kita menyempitkan lagi laluan mereka dan perlu untuk kita mencatatkan kemenangan bagi mengesahkan tempat lebih selesa ke suku akhir,” katanya.
 
Sambil bermain psikologi, bekas jurulatih Perak yang berusia 68 tahun itu walaubagaimanapun dilihat membakar semangat para pemainnya untuk kembali memperagakan aksi melawan sekali lagi sambil pada masa yang sama cuba menafikan hasrat skuad ‘Bujang Senang’ itu untuk mencipta kejutan di Kota Bharu. 
 
“Dalam bola sepak, pasukan yang mengharapkan serangan balas mungkin hanya menang satu atau dua perlawanan tetapi tidak untuk bergelar juara. Percaturan seperti ini tidak ada pada kita kerana kita merupakan pasukan yang ada kualiti untuk bergelar juara. Kita adalah pasukan yang lengkap dan memiliki segala-galanya.
 
Azammuddin (kiri) sekali lagi diberi kepercayaan oleh Karathu untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha dalam aksi menentang Sarawak, malam ini.
 
“Kalau mereka dapat baca corak persembahan kita sekalipun itu tidak penting bagi saya. Kita pun boleh baca corak permainan mereka. Sudah pasti mereka akan bermain mati-matian dan mahu menang disini (Kota Bharu) tetapi saya sudah ingatkan kepada pemain saya untuk tidak benarkan gawang gol kita dibolosi malam ini.
 
“Tidak ada rombakan terhadap barisan pemain untuk perlawanan ini. Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pemain saya. Kalau kita menang dua daripada tiga perlawanan dalam pusingan kedua ini itu sudah cukup bagus. Saya yakin kita akan mara ke pusingan ke suku akhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment