Monday, September 19, 2011

AMUKAN RED WARRIORS

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang diturunkan dalam aksi menentang Sarawak malam tadi.
 
KELANTAN 4
Muhd Badhri Radzi (m-79,91)
Norshahrul Idlan Talaha (m-87)
Danial Fadzly Abdullah (m-88)
 
SARAWAK 0
 
KOTA BHARU – Tempoh 10 minit terakhir menjadi detik paling indah bagi The Red Warriors yang berjaya bangkit membelasah Sarawak 4-0 dalam aksi perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
 
Terima kasih kepada Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi yang menjadi watak penting diatas kebangkitan pasukan Kelantan pada penghujung babak kedua setelah lebih sejam anak buah Datuk M Karathu terpaksa bertungkus-lumus untuk merobek pintu gol Sarawak yang ternyata cukup sukar ditembusi dalam perlawanan malam tadi.
 
Kemenangan malam tadi mencerahkan peluang Kelantan untuk mengisi salah satu slot ke suku akhir dan perlu menewaskan Johor FC pada pertemuan Sabtu ini untuk mengesahkan tempat berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.
 
Seawal minit keempat, Kelantan memulakan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya yang menyaksikan penjaga gol, Aidil Mohamad pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan biarpun cuba dicabar Muhd Badhri.
 
Pada m-15, Kelantan terlepas peluang untuk berada didepan apabila rembatan kencang Mohd Shakir Shaari gagal ditangkap kemas Aidil namun Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan situasi kelam-kabut didepan pintu apabila bola sempat dikeluarkan oleh pemain pertahanan Sarawak.
 
Pemain Kelantan berpelukan setelah Muhd Badhri (kiri) meledakkan gol pertama untuk Kelantan malam tadi
 
Tiga minit kemudian, Muhd Badhri bijak melakukan umpanan cantik kepada Norshahrul Idlan didalam kotak penalti namun pemain pertahanan Sarawak, Mohamad Fareez Tukijo pula lebih pantas membaca hantaran tersebut.
 
Pada m-21, berpunca satu serangan balas pantas, Kelantan hampir menjelmakan gol pertama mereka namun rembatan kencang Norshahrul Idlan sekali lagi diselamatkan Aidil dipintu golnya.
 
Tiga minit berselang, badi kesukaran menembusi pintu gol Sarawak sekali lagi terserlah apabila ketangkasan Aidil digawangnya memastikan sepakan percuma menarik Muhd Badhri sekali lagi diselamatkannya.
 
Pada m-36, Azammuddin Mohd Akil mensia-siakan peluang terbaik apabila gagal menampan kemas hantaran lintang S Chanturu Mohd Akil biarpun berada didalam kedudukan yang selesa untuk menjaringkan gol.
 
Sarawak yang tampil dengan corak permainan bertahan dengan meletakkan Bobby Gonzales sebagai penyerang tunggal turut mempunyai peluang untuk menggegarkan jaring pada m-40 namun rembatannya jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.
 
Norshahrul Idlan melepaskan rembatan leret untuk gol kedua Kelantan dalam perlawanan malam tadi.
 
Pasukan Sarawak bangkit mempamerkan persembahan lebih agresif dan hampir memperolehi peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan tatkala perlawanan baru enam minit bersambung pada babak kedua.
 
Salah faham di antara S Subramaniam dengan Mohd Daudsu Jamaluddin hampir mengundang padah apabila pemain Sarawak, Ashri Chuchu bijak merebut bola dan sempat melepaskan rembatan namun Mohd Shahrizan Ismail pantas menutup ruang memastikan pintu golnya tidak dibolosi.
 
Namun percubaan tersebut dikira satu-satunya peluang terbaik bagi skuad Bujang Senang kerana selepas itu barisan pemain Datuk M Karathu tidak lagi membenarkan pasukan pelawat bermaharajalela sebaliknya kembali menguasai hampir keseluruhan perlawanan pada babak tersebut.
 
Muhd Badhri berjaya menebus kembali kekecewaan sebelum itu apabila memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol pertama untuk Kelantan pada m-79. Berpunca lorongan cantik Mohd Shakir ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Sarawak dan rembatan kaki kirinya berjaya menewaskan Aidil untuk gol pembukaan Kelantan.  
 
Ternyata gol tersebut membakar semangat juang barisan pemain Kelantan untuk menambahkan jaringan selepas itu. Lapan minit kemudian, pintu gol Sarawak bolos lagi kali ini menerusi gerakan menarik satu dua diantara penyerang sensasi, Norshahrul Idlan dengan Muhd Badhri.
 
Norshahrul Idlan bijak memanfaatkan gerakan tersebut dengan melepaskan rembatan leret didalam kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua Kelantan.
 
Seminit kemudian, Muhd Badhri terus menjadi watak penting dalam perlawanan malam tadi apabila membantu Kelantan memperolehi gol ketiga. Pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah mengukir nama sebagai penjaring gol apabila menyempurnakan lorongan cantik Muhd Badhri didalam kotak penalti dengan merembat masuk untuk gol ketiga Kelantan.
 
Semangat juang pemain Sarawak akhirnya terpadam pada minit-minit akhir perlawanan setelah Muhd Badhri menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan malam tadi. Berpunca hantaran lintang Norshahrul Idlan ke dalam kotak penalti, Mohd Nizab bijak mengumpan kepada Muhd Badhri yang tidak dikawal dan melepaskan rembatan kencang untuk gol keempat Kelantan malam tadi.
 
Kesebelasan utama pemain :
 
KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Mohamad Ab Aziz Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya (Danial Fadzly Abdullah), Muhd Badhri Radzi (KP), S Chanturu, Mohd Shakir Shaari (Mohd Nizab Ayub), Azammuddin Mohd Akil (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.
 
FORMASI : 4-4-2
 
SARAWAK : Aidil Mohamad, Mazwandi Zakaria, Mohd Hairol Mokhtar, Mohamad Fareez Tukijo, Shahran Abdul Samad, Mohd Dzulazlan Ibrahim, Mohd Shahrol Saperi (KP), Ashri Chuchu (Ahmad Faiz Bujang), Wong Sai Kong, Zamri Morshidi dan Bobby Gonzales.
 
FORMASI : 4-5-1
 
STATISTIK PERLAWANAN
 
Percubaan tepat : Kelantan (7) Sarawak (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (9) Sarawak (4)
Sepakan penjuru : Kelantan (8) Sarawak (1)
Sepakan percuma : Kelantan (12) Sarawak (20)
Ofsaid : Kelantan (2) Sarawak (1)
Kekasaran : Kelantan (17) Sarawak (11)
Kad kuning : Kelantan (S Subramaniam) Sarawak (Mohd Hairol Mokhtar, Zamri Morshidi, Wong Sai Kong, Mohamad Fareez Tukijo, Aidil Mohamad dan Mohd Dzulazlan Ibrahim )
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) Sarawak (40%)
 
PEGAWAI PERLAWANAN
 
Pengadil : Mohd Yusof Mat Karim
Penolong Pengadil 1: Rosli Saaban
Penolong Pengadil 2: Asmadi Noor Hasni
Pegawai Keempat : Shamsudin Ibrahim
Kommissioner  Perlawanan : Azman Sulong
Penilai Pengadil : Noor Anuar Abdullah Sani
General Kordinator : Arif Hassan

1 comment:

  1. antara perlawanan paling menarik & sedak tengok semale....

    ReplyDelete