Azammuddin (kiri) kurang efektif dalam pertemuan menentang Sarawak, malam semalam
KOTA BHARU – ‘Menguasai hampir keseluruhan perlawanan namun gagal menjaringkan gol’ Begitulah skrip yang terhasil sebelum anak buah Datuk M Karathu kembali bangkit dalam tempoh 10 minit pada babak terakhir dengan meledakkan empat gol dalam aksi pertemuan menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.
Dua gol daripada Kapten, Muhd Badhri Radzi dan satu gol masing-masing menerusi Norshahrul Idlan Talaha dan pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah membutirkan kemenangan yang cukup bermakna dihadapan hampir 5,000 penyokong The Red Warriors.
Raut wajah Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraan betapa skuad kendaliannya kini berada dilandasan yang tepat untuk mengetuk pintu laluan ke suku akhir.
“Nak kata kita lambat panas pun tidak juga tapi ini ternyata memberi kesulitan (menjaringkan gol) kepada kita sendiri. Mengharungi 79 minit perlawanan dengan kesukaran menjaringkan gol namun akhirnya saya gembira dengan kemenangan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.
“Situasi ini tidak boleh berlaku apabila kita bertemu dengan pasukan yang kuat pada masa akan datang. Dalam bola sepak, kalau kita dapat tiga peluang pada satu-satu masa kita harus memanfaatkannya dengan menjaringkan satu gol.
“Anda sendiri boleh dalam perlawanan ini, kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Saya fikir pemain saya mempunyai kemahuan yang kuat untuk mencatatkan selepas kalah kepada KL Felda United FC tempohari. Mereka banyak menyerang, menguasai perlawanan ini dengan baik cuma jaringan sahaja tidak hadir pada masanya,” katanya.
Sambil menyifatkan gol pertama pada penghujung perlawanan menjadi detik kebangkitan anak buahnya dalam perlawanan tersebut, Karathu sekali lagi memberi ingatan kepada pemainnya untuk tidak mendabik dada menghadapi baki dua perlawanan lagi.
“Inilah bola sepak. Kalau kita bermain cantik dan menguasai perlawanan tetapi tidak berjaya menjaringkan gol pun tidak ada gunanya. Anda boleh lihat pemain Sarawak cukup bersemangat mengekang asakan kita ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan dalam perlawanan ini.
“Kemenangan ini tidak melekakan sebaliknya menjadi titik tolak kepada kebangkitan kita. Berapa gol kita jaring itu tidak penting kerana saya hanya mahukan tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.
Ditanya mengenai prestasi turun naik Ketua Pasukannya, Muhd Badhri dalam perlawanan itu, Karathu jelas berpuashati dengan sumbangan dua gol daripada pemain tersebut.
No comments:
Post a Comment