KELANTAN 4
Mohd Nurul Azwan Roya (m-29)
Mohd Riduwan Ma’on (gol sendiri m-50)
Norshahrul Idlan Talaha (m-72)
Mohd Nizab Ayub (m-77)
JOHOR FC 1
Mohd Riduwan Ma’on (m25)
KOTA BHARU – Kelantan berjaya merampas kedudukan takhta selaku pendahulu liga setelah membelasah Johor FC 4-1 dalam perlawanan ketiga Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.
Momentum kemenangan malam tadi turut dibantu apabila pendahulu liga sebelum ini, Negeri Sembilan tewas mengejut 0-2 kepada Perak dalam perlawanan yang berlangsung di Ipoh malam tadi.
Beraksi dihadapan hampir 16,000 penyokong setia, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Johor FC seawal minit pertama menerusi hantaran silang Muhammad Ramzul Zahini Adenan namun tandukan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid sedikit tersasar sebelah kiri pintu gol pasukan pelawat.
Pada minit ketiga, kesilapan pemain pertahanan Johor FC, Mohd Radzi Jasman yang gagal mengeluarkan bola dengan baik dalam kawasan merbahaya didepan pintu golnya hampir membawa padah apabila bola melantun kepada penjaga gol, Mohd Anis Faron Ahmad Arsidi setelah Norshahrul Idlan Talaha masuk campur dalam situasi kelam-kalut itu.
Pada minit keempat, penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini turut mempunyai dua peluang terbaik namun percubaannya tertampan benteng pertahanan pasukan pelawat sementara tandukannya selepas itu sedikit tersasar daripada pintu gol Johor FC.
Pada m-25, disebalik keasyikan serangan menggila pemain Kelantan, pemain Johor FC, Mohd Riduwan Ma’on menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan apabila menjaringkan gol menerusi rembatan kencang daripada luar kotak penalti menewaskan Khairul Fahmi Che Mat bagi menghasilkan gol pertama pasukannya.
Begitupun, kegembiraan pemain Johor FC meraikan jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila bekas pemain yang pernah beraksi dengan pasukan itu musim lalu, Mohd Nurul Azwan Roya berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk pasukan Kelantan pada m-29.
Bermula hantaran pendek Norshahrul Idlan diluar kotak penalti ke sebelah kanan pintu gol, Mohd Nurul Azwan bijak memperdayakan Mohd Radzi sebelum melepaskan rembatan kencang ke sebelah kiri pintu gol Johor FC untuk menewaskan Mohd Anis Faron.
Johor FC yang turun dengan formasi 3-5-2 dalam perlawanan ini dilihat tenggelam malahan lebih banyak bermain secara bertahan hampir keseluruhan pada babak pertama.
Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan kempunan untuk menambahkan jaringan apabila lorongan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi kepada Mohd Rizal Fahmi disudahi dengan hantaran lintangnya didepan pintu gol Johor FC namun tidak ada rakan yang membantu.
Kelantan tidak menunggu lama untuk memulakan pesta gol di Kota Bharu apabila memperolehi gol keduanya pada m-50 setelah Mohd Riduwan Ma’on tertolak bola ke dalam gawang sendiri dalam usahanya mengeluarkan bola hantaran silang Norshahrul Idlan.
Pada m-56, Mohd Nurul Azwan, pemain yang diibaratkan duri dalam daging dalam perlawanan ini turut mempunyai peluang terbaik melebarkan jurang gol apabila gerakan solonya berjaya memerangkap tiga pemain pertahanan Johor FC namun rembatan lemahnya berakhir kedakapan Mohd Anis Faron.
Sementara itu rembatan kencang Muhammad Ramzul Zahini pada m-59 pula singgah dipalang pintu gol Johor FC biarpun Mohd Anis Faron sudah pun tertewas setelah bermain cantik bertukar-tukar hantaran dengan Norshahrul Idlan sebelum itu.
Stadium Sultan Muhammed IV kembali bergema dengan sorakan padu penyokong apabila penyerang terbilang kebangsaan, Norshahrul Idlan kembali menemui sentuhan jaringan apabila berjaya menjaringkan gol ketiga Kelantan pada m-72 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti setelah menyambut baik umpanan jauh daripada Muhd Badhri.
Percaturan Mohd Azuan Zain memasukkan Eddy Helmi Abdul Manan dan Mohd Azizan Baba tidak banyak membantu menggerakkan jentera serangannya sebaliknya dilihat banyak bertahan mengekang asakan pemain Kelantan. Hanya satu-satunya peluang terbaik mereka hadir pada m-75 menerusi tandukan cantik pemain gantian, Mohammad Ezaidy Khadar namun ketangkasan Khairul Fahmi memastikan gawang Kelantan tidak mudah dibocori.
Pada m-77, giliran pemain gantian Mohd Nizab Ayub mencipta nama sebagai penjaring gol keempat Kelantan dalam perlawanan malam tadi menerusi rembatan derasnya dalam kotak penalti setelah menerima umpanan pendek daripada Muhd Badhri.
Sementara itu, percubaan terakhir Johor FC dalam perlawanan malam tadi hadir menerusi sepakan percuma Ketua Pasukannya, Rezal Zambery Yahya pada m-80 yang terus ke dakapan Khairul Fahmi.
Begitu pun, Kelantan seharusnya menambahkan sekurang-kurangnya dua gol lagi dalam perlawanan malam tadi kalau tidak kerana kegopohan Muhd Badhri memanfaatkan peluang terhidang pada m-81 sementara percubaan Norshahrul Idlan pada m-85 pula ditepis keluar Mohd Anis Faron.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin (S Subramaniam), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Nizab Ayub), Mohd Shakir Shaari, Mohd Ramzul Zahini Adenan (Danial Fadzly Abdullah) dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-4-2
JOHOR FC : Mohd Anis Faron Ahmad Arsidi, Muhd Irfan Abdul Ghani, Hasni Zaidi Jamian, Mohd Radzi Jasman, Mohamed Rashid Mohamad Aya, Mohd Riduwan Ma’on, Khairi Kiman (Mohd Azizan Baba), Rezal Zambery Yahya (KP), Badrul Abdul Khalid, Mohd Saufi Mohd Ibrahim (Mohammad Ezaidy Khadar) dan Wan Mohd Hoesne Wan Hussain (Eddy Helmi Abdul Manan).
FORMASI : 3-5-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (6) Johor FC (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (9) Johor FC (1)
Sepakan sudut : Kelantan (12) Johor FC (0)
Sepakan percuma : Kelantan (13) Johor FC (8)
Offsaid : Kelantan (0) Johor FC (2)
Kekasaran : Kelantan (8) Johor FC (10)
Kad kuning : Johor FC (Mohd Radzi Jasman)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Johor FC (45%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Syed Azhar Syed Kamar
Penolong Pengadil 1: Mohd Hanif Abd Rahman
Penolong Pengadil 2: Ismadi Ibrahim
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Said
Komisioner Perlawanan : Mat Lazim Awang Hamat
General Kordinator : Arif Hassan
No comments:
Post a Comment