Monday, February 14, 2011

STRATEGI KARATHU MENJADI


Pemain sayap kiri Kelantan, Mohd Nurul Azwan Roya cuba melepasi halangan pemain Johor FC, Hasni Zaidi Jamian dalam perlawanan yang berlangsung di Kota Bharu, malam semalam. 

KOTA BHARU – Ada nada gembira tercetus daripada perasaan pengendali Kelantan, Datuk M Karathu sesudah melihat persembahan bertenaga anak buahnya meratah pasukan bertaraf kelab dari negeri selatan tanah air, Johor FC dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam semalam.

Kemenangan besar 4-1 ke atas wakil negeri Johor itu mengulangi pencapaian yang sama musim lalu ketika skuad The Red Warriors dibawah bimbingan B Sathianathan turut membelasah lawan yang sama dalam aksi pusingan pertama di Kota Bharu.

Bagi Karathu, semangat juang yang tinggi, bermain sebagai satu unit pasukan disamping pemain mengikut arahan diberikan merupakan intipati kejayaan Kelantan memacu carta liga buat pertama kali setakat ini.

“Pujian harus diberikan kepada pemain Kelantan. Mereka beraksi dengan baik, menguasai keseluruhan 90 minit babak permainan malahan yang lebih penting jentera serangan kita kembali bertindak garang. Saya fikir strategi kita menjadi dalam perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walaubagaimanapun, saya mengakui kita menghadapi kesukaran untuk menembusi pintu gol Johor FC hampir setengah jam perlawanan berlangsung kerana mereka lebih banyak bertahan. Ada sembilan pemain mereka berkampung didepan pintu gol mereka, itu yang membuatkan pemain kita begitu sukar membawa masuk bola ke kawasan mereka.

“Percaturan taktikal memang nampak menjadi. Kombinasi Norshahrul Idlan Talaha dan berpasangan dengan Muhammad Ramzul Zahini Adenan berfungsi dengan baik. Kita sentiasa mengkaji penggunaan formasi yang berbeza dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang dihadapi,” katanya.

Menurut Karathu, beliau tidak menyalahkan benteng pertahanannya yang sedikit leka apabila terlalu memberi ruang kepada pemain pasukan pelawat, Mohd Riduwan Ma’on menjaringkan gol pendahuluan pada pertengahan babak pertama.

“Mereka hanya memerlukan satu serangan balas sahaja untuk menjaringkan gol sedangkan kita sentiasa melancarkan serangan bertali arus sebelum itu. Dalam bola sepak, biasalah kesilapan memang tetap berlaku cuma saya berharap kita memperbaiki kelemahan itu pada perlawanan akan datang.

“Namun secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya. Kita berhak menang dalam perlawanan malam semalam. Saya berpuas hati dengan komitmen pemain muda seperti Muhammad Ramzul (Zahini Adenan) dan Mohd Nizab (Ayub) dalam perlawanan itu.

“Muhammad Ramzul mempunyai larian yang pantas dan rajin mengejar bola namun dia penyudahnya tidak berapa tajam didepan pintu gol. Saya akan memberi tumpuan lebih terhadap dia dalam sesi latihan nanti. Begitu pun, saya bersedia memberi peluang kepada pada perlawanan akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment