Saturday, February 12, 2011

MOTIVASI TINGGI UNTUK MENANG


M KARATHU 

Formasi 4-4-2 sedia digunakan dalam perlawanan ini

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tidak mahu anak buahnya mengulangi kesilapan lalu apabila turun melayan kunjungan pasukan Johor FC dalam aksi ketiga perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam ini.

Setelah kehilangan tiga mata ketika menentang Terengganu minggu lalu, jelas Karathu mahu pemainnya menanamkan motivasi yang tinggi untuk mencatatkan kemenangan ke atas kelab daripada negeri selatan tanah air dalam perlawanan malam ini.

“Saya tidak berapa gembira sekiranya kita tidak boleh mengutip tiga mata penuh di Kota Bharu. Sebagai pemain profesional, mereka harus bersedia bermain untuk menang apatah lagi kita adalah pasukan bergelar juara Piala Malaysia dan Piala Sultan Ahmad Shah baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Mereka perlu menyerap tekanan sebaik mungkin apabila beraksi dihadapan penyokong sendiri. Semua pemain harus menggunakan segala pengalaman yang ada. Perjalanan masih jauh dan ini baru perlawanan ketiga, justeru kita tidak boleh kehilangan mata lebih-lebih lagi bermain ditempat sendiri.

“Johor FC merupakan pasukan yang bagus dan kita perlu menghormati keupayaan pasukan tersebut. Berdasarkan risikan saya, mereka gemar menggunakan formasi 4-5-1 dan lebih banyak bertahan sebelum melakukan serangan balas. Malahan kepakaran taktikal pengendalinya, Mohd Azuan Mohd Zain harus dibimbangi,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan pasukan Kelantan bagi menghadapi perlawanan ini, Karathu berkata, tempoh rehat seminggu baru-baru ini digunakan sebaiknya oleh beliau bagi mempertajamkan jentera serangan Kelantan. 

M Karathu memberi arahan kepada pemainnya dalam sesi latihan terakhir skuad Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam. 

“Saya mungkin mengubah formasi kepada sistem 4-4-2 dalam perlawanan malam ini. Dalam fikiran saya ada beberapa pemain seperti Mohd Khalid (Jamlus), Mohd Ramzul Zahini (Adenan) dan Mohd Nizab (Ayub) yang bersedia untuk digandingkan dengan Norshahrul (Idlan Talaha).

“Bahagian pertahanan dan tengah tidak bermasalah dan saya menjangkakan akan menurunkan pemain yang sama diposisi tersebut. Cuma saya perlu fikirkan mengenai jentera penyudah kita. Semua itu akan ditentukan dalam sesi latihan terakhir kita petang ini (semalam). Tiga pemain skuad kebangsaan juga akan melaporkan diri bersama pasukan kita hari ini.

“Saya tidak mahu mempertaruhkan nasib dengan menurunkan beberapa pemain yang tidak bersedia dalam perlawanan ini. Ini merupakan pertandingan liga domestik yang panjang dan bukannya masa untuk kita memberi pendedahan. Saya hanya mahu menurunkan barisan terkuat Kelantan bagi perlawanan malam ini,” katanya.

Untuk rekod, dalam perlawanan Liga Super musim lalu, Kelantan mengalahkan Johor FC 4-1 di Kota Bharu sementara dalam perlawanan pusingan kedua di Pasir Gudang, Kelantan turut mengecewakan pasukan bergelar Sang Lebah itu dengan kemenangan 3-1.

No comments:

Post a Comment