B Sathianathan dijangka menurunkan barisan terkuat bagi menentang Negeri Sembilan malam ini.
KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mengingatkan kepada anak buahnya berwaspada dengan ancaman juara bertahan, Negeri Sembilan dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV Kota Bharu malam ini.
“Kita telah melakukan segala persiapan yang perlu tetapi pada masa yang sama kita juga harus berwaspada dengan ancaman Negeri Sembilan yang sudah pasti tidak mahu kalah pada perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Walaupun menamatkan saingan dalam Liga Super dengan menduduki tempat keenam, tetapi Negeri Sembilan merupakan pasukan yang kuat dan saingan dalam Piala Malaysia sudah pasti berbeza.
“Tanpa Mohd Zaquan Adha (Abdul Razak) sekali pun, mereka masih merupakan pasukan yang kuat dan kita tidak tahu siapa pengganti yang mampu mengisi ketiadaan pemain itu. Sudah pasti Wan Jamak (Wan Hassan) akan melakukan perubahan taktikal ekoran masalah itu.
Sathianathan berkata, peluang beraksi digelanggang sendiri merupakan satu kelebihan buat Kelantan dan beliau percaya para pemainnya memahami apa yang perlu dilakukan pada perlawanan malam ini.
“Kita tidak boleh melepaskan peluang ini, kita sudah menjadi naib juara kepada Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super jadi inilah satu-satunya peluang kita memburu kejuaraan pada musim ini.
“Para pemain perlu menanam keyakinan dan kita boleh mengutip tiga mata pada perlawanan malam ini. Saya melihat para pemain juga bersungguh-sungguh menjalani latihan dan mereka mengorbankan masa cuti hari raya demi pasukan Kelantan.
Sementara itu, dalam masa yang Sathianathan turut pening kepala memikirkan kesebelasan utama yang akan disenaraikan pada perlawanan malam ini.
“Pening pun ada, seronok pun ada, semua pemain menunjukkan prestasi yang membanggakan. Saya seronok sebab mempunyai banyak pilihan. Semua pemain bebas daripada kecederaan dan juga penggantungan perlawanan.
“Walauapapun, senarai kesebelasan utama pemain Kelantan yang akan turun beraksi hanya akan ditentukan pagi ini sejurus kita menjalani latihan terakhir,” katanya.
Sementara itu, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha tetap optimis pasukannya mampu menumbangkan Negeri Sembilan pada perlawanan ini.
“Ini perlawanan pertama untuk saingan Piala Malaysia dan kita akan bermain di tempat sendiri. Kami akan cuba memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut.
”Kemenangan pada perlawanan ini penting sebagai tonik untuk kami meneruskan misi untuk melepasi saingan peringkat kumpulan seterusya mara dengan lebih jauh,” katanya.
”Kemenangan pada perlawanan ini penting sebagai tonik untuk kami meneruskan misi untuk melepasi saingan peringkat kumpulan seterusya mara dengan lebih jauh,” katanya.
No comments:
Post a Comment