Wednesday, September 15, 2010

LANGKAH SUMBANG KELANTAN


Pemain Kelantan jelas kecewa diatas kekalahan tipis 0-1 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan A , TM Piala Malaysia malam tadi

KELANTAN 0 

NEGERI SEMBILAN 1
Abdul Halim Zainal (pen m-74) 


KOTA BHARU – Kelantan membuka langkah sumbang setelah tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan TM Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong sendiri yang memenuhi segenap ruang stadium keramat itu, jelas pemain Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri untuk mencipta kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan. 

Sebaliknya, Negeri Sembilan yang turun tanpa penyerang utamanya, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan hadir ke Kota Bharu dengan misi sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri masih lagi berupaya menyaingi kehebatan pemain The Red Warriors.  

Separuh masa pertama kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dengan aksi hambar terutamanya ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan menjadi santapan bagi puluhan ribu peminat yang sebenarnya mahu menyaksikan satu perlawanan yang menarik malam tadi. 

Kelantan mula menguasai babak awal permainan dengan melancarkan serangan bertali arus melalui gerakan sebelah kanan pintu gol pada ketika pasukan pelawat sedang berusaha menyesuaikan diri dengan corak permainan.  

Minit kesembilan, Kelantan melakukan percubaan pertama ke pintu gol Negeri Sembilan melalui sepakan percuma ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin tetapi terus ke dakapan Sani Anuar Kamsani. 

Minit ke-14, Kelantan nyaris mendapatkan gol pendahuluan apabila lontaran ke dalam oleh Azizi Matt Rose ditanduk Akmal Rizal Ahmad Rakhli namun dikuis keluar oleh Sani Anuar. 

Selang seminit kemudian, giliran anak buah Wan Jamak Wan Hassan pula menguji kekentalan benteng Kelantan tetapi rembatan Norizam Salaman jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan. 

Minit ke-22, Negeri Sembilan sekali lagi menduga kali ini menerusi sepakan percuma Shahurain Abu Samah tetapi sempat dikeluarkan oleh pemain pertahanan, Azizi Matt Rose. 

Percubaan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-30 yang terus ke dakapan kemas Sani Anuar setelah menerima lambungan daripada Azizi Matt Rose menutup tirai aksi hambar pemain Kelantan pada separuh masa pertama. 

Bersambung babak kedua, corak permainan Kelantan menampakkan sedikit perubahan namun itu belum cukup tanpa diterjahkan dengan jaringan gol. 

Dua peluang terbaik menerusi penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-52 dan 53 menyaksikan Sani Anuar sekali lagi menjadi penghalang diatas kebangkitan pemain Kelantan untuk memburu gol pertama.  

Minit ke-65, hantaran cantik 1-2 diantara Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin pula menyaksikan ianya disia-siakan begitu sahaja setelah Indra Putra menyepak tinggi melepasi pintu gol pasukan pelawat. 

Sementara itu, Hairuddin Omar sekali merakamkan detik kehampaannya setelah percubaan beliau pada minit ke-71 diselamatkan sekali yang oleh Sani Annuar. 

Detik malang buat Kelantan akhirnya menjelma pada minit ke-74 perlawanan. Tindakan pemain pertahanan, S Subramaniam menjatuhkan Idris Karim didalam kotak penalti akhirnya mengundang padah buat Kelantan. 

Pengadil perlawanan, Yusof Mat Karim tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada Negeri Sembilan. Pemain tengah, Abdul Halim Zainal mudah menyempurnakan sepakan itu menewaskan Syed Adney Syed Hussien. 

Jelas kekalahan malam tadi merupakan satu tamparan hebat bagi Kelantan dalam usaha memburu kejuaraan Piala Malaysia musim ini. 
Pengendali Kelantan, B Sathianathan tidak dapat menyembunyikan raut wajah kecewanya kekalahan sulung Kelantan

Sebaliknya, kemenangan malam tadi memberi satu suntikan semangat buat Negeri Sembilan dalam usaha mempertahankan gelaran kejuaraan yang dimenanginya musim lalu setelah sekadar menduduki tangga keenam dalam saingan Liga Super yang lalu.
 
Kesebelasan utama pemain :  
KELANTAN : Syed Adney Syed Hussien, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail (Zairul Fitree Ishak), Azizi Matt Rose, S Subramaniam, Muhd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad (S Chanturu), Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Hairuddin Omar).  
FORMASI : 4-4-2 
NEGERI SEMBILAN : Mohd Sani Anuar Kamsani,  Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Mohd Shukor Adan, Qhairil Anwar Roslani, Tengku Qayyum Ubaidhillah Tengku Ahmad, S Kunalan, Rezal Zambery Yahya (KP), Idris Abdul Karim, Abdul Halim Zainal, Shahurain Abu Samah (Ching Hong Aik), dan Norizam Salaman (L Ragesh). 
FORMASI : 4-4-2 

STATISTIK PERLAWANAN 
Percubaan tepat : Kelantan (7) Negeri Sembilan (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (3) Negeri Sembilan (3)
Sepakan sudut : Kelantan (6) Negeri Sembilan (3)
Sepakan percuma : Kelantan (30)  Negeri Sembilan (21)
Offsaid : Kelantan (4) Negeri Sembilan (4)
Kekasaran : Kelantan (17) Negeri Sembilan (24)
Kad kuning : Kelantan (Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin dan S Subramaniam) Negeri Sembilan (L Ragesh dan Sani Anuar Kamsani)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) Negeri Sembilan (48%) 

PEGAWAI PERLAWANAN 
Pengadil : Yusof Mat Karim
Penolong Pengadil 1: Wan Abd Muhaimi Wan Ahmad
Penolong Pengadil 2: Nojey Naking
Pegawai Keempat : Mat Suburi Isa
General Kordinator : Arif Hassan
Komisionel Perlawanan : Mohd Jamil Zakaria

No comments:

Post a Comment