Wednesday, September 15, 2010

SERI SUDAH MEMADAI - WAN JAMAK

Pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan tidak dibawa ke Kota Bharu kerana menjalani penggantungan perlawanan.

KOTA BHARU – Negeri Sembilan tetap mempunyai ramuan yang tersendiri dalam mengekang asakan menggila pemain The Red Warriors pada pertemuan pertama peringkat kumpulan TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan berkata, biarpun tanpa khidmat dua pemain kembar yang terpaksa diketepikan tetapi semangat juang anak-anak buahnya tetap membara membawa cabaran skuad Jang dalam perlawanan malam ini.

“Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak  terpaksa diketepikan kerana menjalani penggantungan perlawanan manakala khidmat Mohd Zaquan Adha Abdul Razak terpaksa dilupakan setelah mengalami kecederaan serius di lutut perlu berehat panjang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sejurus tiba di Kota Bharu semalam.

“Kedua-dua pemain ini tidak di bawa ke Kota Bharu. Kita sememangnya begitu terasa kehilangan kedua-dua pemain ini apatah lagi mereka mempunyai pengalaman yang luas beraksi diperingkat antarabangsa, begitupun  kami tetap akan berusaha memberikan saingan yang terbaik dalam perlawanan ini.

Wan Jamak berkata, para pemainnya begitu menyedari suasana sukar beraksi di gelanggang kebal serta berhadapan sorakan keramat puluhan ribu peminat fanatik Kelantan.

“Kita menyedari situasi tersebut, tetapi kita sudah biasa melalui suasana bermain di Kota Bharu. Saya berharap pemain saya dapat menunjukkan persembahan terbaik walaupun berhadapan puluhan ribu penyokong Kelantan.

“Kita mengharapkan satu keputusan terbaik dicapai di Kota Bharu, sudah pasti kita mengharapkan kemenangan walaupun sukar tetapi sekiranya mencatatkan keputusan seri itu sudah cukup baik bagi kita.

Menurut Wan Jamak, bekas penyerang Johor musim lalu, Norizam Salaman sudah hampir pasti diturunkan menggantikan tempat Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.

“Sementara seorang pemain pinjaman yang juga berasal dari Johor, L Ragesh yang mengalami sedikit kecederaan tetap di bawa ke Kota Bharu. Walauapapun, saya bersedia menurunkan pemain ini sekiranya keadaan terdesak.

“Sudah pasti di kem Kelantan akan tertanya-tanya mengenai strategi taktikal kami. Semua ini akan terjawab dalam pertemuan malam ini. Kita tetap mengharapkan keputusan terbaik di Kota Bharu sebelum perlawanan ulangan di Paroi pada 3 Oktober nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment