Wednesday, September 8, 2010

SATU PENGAJARAN BERGUNA - SATHIANATHAN


B Sathianathan mengakui kekalahan tipis ditangan Felda United FC tempohari membuka mata pemainnya untuk kembali bangkit dalam saingan Piala Malaysia.

KOTA BHARU – ‘Satu pengajaran berguna buat saya dan semua pemain Kelantan.’ Demikian luahan terbuka Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan setelah melihat anak didiknya meratapi kekalahan mengejut tewas 0-1 kepada Juara Liga Perdana musim ini, Felda United FC dalam perlawanan persahabatan di Kota Bharu malam kelmarin.

“Nasib baik ini merupakan perlawanan persahabatan dan bukan saingan Piala Malaysia. Inilah padahnya, kita tidak boleh pandang rendah pasukan daripada Liga Perdana,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Bermula dari wisel perlawanan ditiupkan, pemain saya tidak fokus sepanjang perlawanan itu. Sikap memandang mudah kemampuan pasukan lawan akhirnya menjerat diri sendiri.

“Kita bekerja keras, tidak ada kejayaan datang dengan mudah. Setiap perlawanan yang perlu kita harungi tidak semudah yang disangkakan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Sathianathan turut memberi mengingatkan kepada pemainnya agar tidak memandang mudah kehadiran wakil kelab dari Selangor, PKNS FC dalam saingan kumpulan A pertandingan Piala Malaysia nanti.

“Jangan pandang rendah kehadiran pasukan berstatus kelab seperti PKNS FC ini. Kita tidak tahu kekuatan pasukan ini kerana mereka beraksi dalam saingan liga yang berbeza pada musim ini.

“Saingan Piala Malaysia mempunyai kejutan yang tersendiri. Tidak ada pasukan yang boleh mengatakan mereka pasukan pilihan layak ke pusingan seterusnya. Negeri Sembilan dan Kelantan selaku juara dan naib juara musim lalu juga tidak boleh mendabik dada pada saingan kali ini,” katanya.

Menyentuh mengenai corak persembahan pemain Kelantan pada perlawanan persahabatan itu, Sathianathan mengakui aksi lembab para pemainnya mengundang keresahannya kepada beliau sebelum sepak mula Piala Malaysia minggu depan.

“Mereka bergerak terlalu lambat, malahan bertindak balas juga cukup perlahan. Mereka memegang bola, tetapi lambat menghantar kepada rakan lain. Ini mengakibatkan pemain lawan mampu membaca pergerakan pemain kita.

“Banyak kelemahan pada perlawanan itu seperti hantaran kurang kemas disamping tindakan susulan yang kurang cermat hasil percubaan sebelum itu. Semua ini tidak harus berlaku pada pasukan Kelantan.

Menurut Sathianathan, beliau mengakui perlu memperbaiki kelemahan tersebut dengan segera memandangkan saingan kempen Piala Malaysia akan bermula tidak sampai seminggu lagi.

No comments:

Post a Comment