Saturday, September 18, 2010

PENYOKONG KELANTAN TIDAK SERIK

Pemain Kelantan, S Chanturu terduduk setelah terkena tempias daripada letupan mercun yang dibaling oleh penyokong Kelantan ketika perlawanan Kelantan menentang Negeri Sembilan tempohari.

KOTA BHARU – “Macam medan pertempuran”. Begitulah suasana yang dapat dilihat setelah segelintir penyokong Kelantan bertindak membakar dan membaling mercun ketika perlawanan bola sepak peringkat kumpulan A TM Piala Malaysia, pertemuan Kelantan menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam semalam.

Rekod cemerlang penyokong Kelantan sepanjang saingan Piala FA dan Liga Super musim ini akhirnya tercalar di gelanggang sendiri angkara tindakan segelintir penyokong Kelantan yang bertindak membakar dan membaling mercun dalam perlawanan itu.

Malahan, perbuatan tersebut disifatkan tidak mencerminkan sikap sebenar ‘penyokong setia Kelantan’ yang dilihat begitu berdisiplin sepanjang tahun ini.

Dalam perlawanan itu, Kelantan yang beraksi dihadapan hampir 25,000 penyokong setia tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan hasil jaringan sepakan penalti Abdul Halim Zainal.

Insiden membakar dan membaling mercun bermula sebaik sahaja pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-74 oleh pengadil, Yusof Mat Karim  setelah pemain Negeri Sembilan, Idris Abdul Karim dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan tuan rumah, S Subramaniam.

Keputusan pengadil itu ternyata mengundang rasa tidak puas hati penyokong Kelantan yang bertindak diluar batasan dengan mula membakar serta membaling mercun ke dalam padang.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sudah pastinya bakal berdepan dengan hukuman berat sekiranya Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melihat insiden tersebut merupakan satu kesalahan yang amat serius.

Tindakan membakar mercun itu sememangnya sudah dijangka walaupun pihak Kafa sebelum ini telah mengambil segala langkah yang perlu bagi menangani gejala ini termasuk melakukan pemeriksaan badan terhadap setiap penonton yang memasuki stadium.

Malahan peringatan demi peringatan turut dilontarkan kepada penyokong Kelantan sebelum ini mengenai larangan membawa barang larangan terutama mercun ke dalam stadium.

Melihat kepada insiden tersebut, jelas penyokong Kelantan tidak pernah serik dan belajar diatas pengalaman musim lalu dimana pihak Kafa telah didenda hampir RM200,000 oleh FAM gara-gara tindakan melampau penyokongnya sendiri.

Pada 25 Januari lalu, dua penyokong Kelantan didakwa di mahkamah atas kesalahan memiliki mercun ketika ditahan di kawasan stadium sewaktu Kelantan menentang Johor FC pada saingan Liga Super.
Tindakan pantas pihak berkuasa menahan lima individu serta mendakwa mereka di mahkamah semalam harus dijadikan pengajaran kepada penyokong Kelantan yang lain untuk tidak bertindak diluar batasan selepas ini.

No comments:

Post a Comment