Saturday, July 31, 2010

TUGAS GETIR DI PASIR GUDANG


B Sathianathan dijangka menurunkan kesebelasan pemain yang sama sewaktu menentang KL Plus FC tempohari pada perlawanan malam ini.

KOTA BHARU – Kelantan berhadapan ujian cukup getir menentang Johor FC, dalam perlawanan Liga Super yang akan berlangsung di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, kehilangan tiga pemain utama iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Muhd Badhri Radzi dan S Chanturu tidak dilihat sebagai alasan untuk tidak boleh mencipta kemenangan biarpun beraksi ditempat lawan.
B Sathianathan

“Walaupun turun tanpa tiga tonggak itu, saya percaya pemain simpanan yang lain boleh menggalas tugas yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sebagai contohnya, Khairan Eroza (Razali) yang menggantikan tempat Muhd Badhri (Radzi) menunjukkan persembahan yang cemerlang pada perlawanan dengan KL Plus, jadi tidak ada sebab untuk saya menyisihkan khidmat beliau pada perlawanan malam ini

“Apa yang penting, mereka harus bermain sebagai sebuah pasukan dan tentunya matlamat kita hendak menang pada perlawanan malam ini,” katanya.

Difahamkan, Khairul Fahmi mengalami sakit belakang ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan baru-baru ini sementara Muhd Badhri mengalami demam dan S Chanturu masih bergelut dengan masa untuk pulih daripada kecederaan kakinya.

Begitupun, menurut Sathianthan, Muhd Badhri Radzi dan S Chanturu tetap dibawa bersama pasukan Kelantan ke Pasir Gudang.

Pada perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu, Kelantan mengalahkan Johor FC dengan kemenangan 4-1.

Ditanya mengenai lawan yang akan dihadapinya malam ini, Sathianathan secara jujur mengakui tugas rumit menanti anak buahnya sementelah Johor FC juga mahu mencipta kemenangan pada perlawanan itu.

“Johor FC sebuah pasukan yang kuat. Saya menjangkakan mereka akan memberikan tentang sengit kepada Kelantan. Sudah pasti mereka akan bermain mati-matian kerana mereka masih berpeluang memintas Terengganu bagi merebut tempat ketiga.

Sementara itu, ditanya mengenai persembahan penjaga gol simpanan, Syed Adney Syed Hussien, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain ini walaupun begitu lama tidak turun

“Beliau (Syed Adney) telah lama tidak turun beraksi bersama Kelantan. Persembahan beliau tidak mengecewakan saya. Ternyata beliau mempunyai ketahanan mental yang kuat apabila mampu menyerap tekanan bermain di Kota Bharu tempohari,” katanya.

No comments:

Post a Comment