Thursday, July 29, 2010

KELANTAN TERUS MENGHAMBAT SELANGOR


Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha ditarik oleh ketua pasukan KL Plus FC, Norhafiz ZamaniMisbah dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi
(Gambar ehsan : Userun)

KELANTAN 4
Azizi Matt Rose (m-15)
Indra Putra Mahayuddin (m-56)
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-62)
Mohd Norfarhan Muhammad (m-86)

KL PLUS FC 1
Rusydee Samsuddin (m-67) 

KOTA BHARU – Kelantan terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Selangor dalam pemburuan kejuaraan Liga Super musim ini setelah berjaya mengalahkan KL Plus FC 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan Selangor ke atas T-Team 2-1 di Kuala Terengganu tidak sedikit pun meruntuhkan semangat juang pemain Kelantan dalam aksi Liga Super setakat ini, sebaliknya penentuan juara liga tidak mudah dinobatkan kepada Selangor selagi dua baki perlawanan liga masih belum berakhir.

Seawal minit ketujuh, Kelantan cuba memecah kebuntuan apabila percubaan Mohd Shakir Shaari jauh melepasi palang gol setelah berjaya merampas bola daripada situasi kelam-kabut didepan pintu gol KL Plus FC.

Manakala pasukan pelawat yang turun tanpa penyerang utama, Mohd Nizaruddin Yusuff dan Es Lizuan Zahir Amir, sekadar menguji kehebatan Syed Adney pada minit ke-12, apabila rembatan Rusydee Samsuddin mudah dikeluarkan oleh pemain pertahanan Kelantan.

Gol pertama Kelantan hadir pada minit ke-15, bermula dengan sepakan penjuru yang diambil secara dekat, Khairan Eroza pantas melakukan hantaran lintang yang mudah ditanduk oleh Azizi Matt Rose untuk menewaskan Razi Effandi Suhit.

Biarpun turun tanpa perancang utama, Muhd Badhri Radzi, jelas penguasaan jentera tengah Kelantan diketuai Indra Putra Mahayuddin dilihat sentiasa mengaturkan gerakan demi gerakan bagi memburu jaringan buat pasukan Kelantan.

Selang dua minit kemudian, sepakan percuma Indra Putra didepan pintu gol KL Plus pantas disambil oleh Azizi Mat Rose tetapi tandukannya terkena palang gol.

Minit ke-33, Akmal Rizal yang berjaya melepasi dua pemain pertahanan KL Plus FC hampir menambah jaringan tetapi rembatannya terus ke dakapan Razi Effandi.

Sementara KL Plus FC yang dilihat tenggelam corak permainannya hanya berupaya mengacah melalui percubaan Rusydee Samsuddin pada minit ke-41, tetapi jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Minit-minit akhir babak pertama, Kelantan seharusnya selesa dengan kelebihan dua jaringan sebelum menuju ke ke bilik persalinan, tetapi percubaan Indra Putra sedikit melepasi palang gol.

Bersambung babak kedua, KL Plus FC memasukkan Mohamad Zaidi Ahmad dengan mengeluarkan  Hairee Jamaluddin  bagi memperkemaskan benteng pertahanan mereka.

Belum sempat mengatur gerakan merbahaya ke kubu Kelantan, pintu gol KL Plus sekali lagi bocor pada minit ke-56. Sepakan percuma yang diambil oleh Mohd Norfarhan ditampan kemas oleh Azizi seterusnya melorong bola kepada Indra Putra yang melakukan rembatan kencang menewaskan Razi Effandi buat kali kedua.

Minit ke-62, kali ini giliran Akmal Rizal pula mencipta nama sebagai penjaring gol Kelantan pada perlawanan malam tadi.

Segalanya terhasil apabila hantaran jauh Mohd Daudsu kepada Norshahrul Idlan disempurnakan oleh beliau dengan membawa masuk bola ke dalam kotak penalti sebelum memperdayakan Razi Effandi dengan menolak bola ke belakang kepada Akmal Rizal yang tanpa dicabar terus meledakan rembatan kencang menghasilkan gol ketiga Kelantan.

Selesa dengan tiga gol dihadapan, pemain Kelantan dilihat mula memperlahankan rentak permainan. Sebaliknya anak buah Mohd Zan Mat Aris mencetuskan kebangkitan bagi memburu gol pertama bagi pasukan mereka.

Hasilnya pada minit ke-67, lambungan jauh Azi Shahril Azmi kepada Rusydee Samsuddin mudah disempurnakan oleh beliau dengan merembat mudah tanpa dicabar oleh Syed Adney menghasilkan gol tunggal pasukan mereka pada perlawanan ini.

Empat minit kemudian, Rusydee Samsuddin sekali lagi cuba menguji kekentalan Syed Adney di gawang pintu gol Kelantan tetapi rembatan jarak jauhnya sekadar meliar.

Stadium Sultan Muhammed Ke-IV kembali bergema dengan sorakan penyokong setia Merah Putih apabila Mohd Norfarhan Muhammad menghasilkan gol keempat untuk Kelantan pada minit ke-86.

Larian solo Akmal Rizal dari sebelah kanan pintu gol pasukan pelawat disusuli dengan melakukan hantaran silang ditampan kemas oleh Mohd Norfarhan dengan merembat kencang menewaskan Razi Effandi buat kali keempat malam tadi.

Minit-minit akhir perlawanan, pemain gantian, Hairuddin Omar seharusnya memastikan Kelantan berpesta gol pada perlawanan malam tadi, tetapi tandukannya setelah menerima umpanan daripada Indra Putra sedikit melepasi palang gol sekaligus menutup tirai kemenangan bermakna Kelantan ke atas KL Plus FC malam tadi

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN – Syed Adney Syed Hussien, Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin Zairul Fitree Ishak),  S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Khairan Eroza Razali, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Mohd Norfarhan Muhammad, Norshahrul Idlan Talaha (Hairuddin Omar), Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

FORMASI : 4-4-2

KL PLUS FC – Razi Effandi Suhit, Norhafiz Zamani Misbah (KP), Irwan Fadzli Idrus, Mohamad Abdul Aziz Ismail, Rusydee Samsudin (Mohd Nazrin Mohd Nawi), Azi Shahril Azmi, Hairee Jamaluddin (Mohamad Zaidi Ahmad),, Muhammad Badrul Hisani Abd Rahman, Reeshafiq Alwi, Mohd Lot Abu Hassan, dan Mohd Fadzli Shaari (Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (5) KL Plus FC (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) KL Plus FC 4)
Sepakan sudut : Kelantan (7) KL Plus FC (1)
Sepakan percuma : Kelantan (15) KL Plus FC (15)
Offsaid : Kelantan (4) KL Plus FC (0)
Kekasaran : Kelantan (11) KL Plus FC (15)
Kad kuning : Kelantan (S Subramaniam dan Azizi Matt Rose) KL Plus FC (Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Abdul Aziz Ismail dan Azi Shahril Azmi)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%)  KL Plus FC (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Mohd Romzi Zahari
Penolong Pengadil 1: Fadli Ishak
Penolong Pengadil 2: Naimulddin Haron
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Mohd Nor
General Koordinator: Arif Hassan
Komissioner Perlawanan : Anuar Salim Abd Moen

No comments:

Post a Comment