Saturday, July 31, 2010

JOHOR FC IMPIKAN TIGA MATA


RAMLAN RASHID
KOTA BHARU – Pasukan berstatus kelab,Johor FC memasang impian untuk mengutip tiga penuh dalam pertemuan menentang Kelantan di Stadium Corp, Pasir Gudang malam ini bagi menghidupkan peluang merebut tempat ketiga dalam saingan Liga Super musim ini.

Biarpun hanya dipisahkan empat mata dengan Terengganu, Johor FC tetap mengharapkan keajaiban berlaku dalam memburu tempat ketiga sambil pada masa yang sama mengimpikan Terengganu tumbang dalam baki dua perlawanan terakhir itu.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid berkata, perlawanan malam ini bakal menyaksikan pertembungan yang sengit kerana kedua-dua pasukan pastinya mengharapkan kemenangan.

“Kalau dinilai, prestasi Kelantan dilihat lebih menonjol dari segi mutu permainan dan taktikalnya. Lagi pun prestasi Kelantan kini sudah sampai ke kemuncak. Saya kira perlawanan malam ini merupakan sesuatu yang sukar bagi Johor FC walaupun kita menjadi tuan rumah,” katanya ketika Sinar Harian semalam.

“Kita akan bermain sebaik mungkin dan sudah pasti matlamat kita turun beraksi untuk mencipta kemenangan pada malam ini.

“Walauapapun, segalanya kita perlu bergantung kepada keputusan perlawanan diantara Selangor dengan Terengganu.

Dalam masa yang sama, Ramlan turut tidak dapat menyembunyikan kegusaran mengenai prestasi pasukannya ketika ini yang disifatkan tidak begitu mantap.

“Walaupun kita menang besar ke atas Johor tempohari, tetapi prestasi pemain saya tidak mencapai tahap sebenar. Justeru, saya mengharapkan para pemain saya bangkit mempamerkan aksi bertenaga bagi memberi saingan kepada Kelantan.

Menurut Ramlan, Johor FC akan turun tanpa tiga tonggak utama iaitu Mat Saiful Mohamad, Zulhissyam Jamaluddin dan perancang tengah, Eddy Helmi Abd Manan.

“Mat Saiful (Mohamad) dan Zulhissyam (Jamaluddin) terpaksa diketepikan kerana masih belum pulih daripada kecederaan. Sementara khidmat Eddy Helmi (Abd Manan) pula terpaksa dilupakan sehingga musim liga berakhir kerana beliau perlu berehat panjang setelah menjalani pembedahan lutut. 

"Sudah pasti saya mengharapkan gandingan pemain sedia ada dikepalai ketua pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail dan rakan-rakan sepasukan yang lain bagi mengekang asakan pemain Kelantan pada perlawanan malam ini," katanya.

No comments:

Post a Comment