Wednesday, July 28, 2010

Hanya pemain cergas diturunkan - Sathianathan


B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Pertemuan menentang KL Plus dalam perlawanan Liga Super malam ini tidak disifatkan mudah oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan, sebaliknya beliau berharap pasukan The Red Warriors perlu mencipta kemenangan seterusnya mengekalkan rekod tanpa kalah sejak beberapa bulan lalu.

Begitu pun, di sebalik keinginan Sathianathan untuk terus mempertahankan rekod tanpa kalah itu, beliau turut diselubungi keresahan setelah dua pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat mengalami kecederaan masing-masing.

“Kedudukan Norshahrul (Idlan Talaha) dan Khairul Fahmi (Che Mat) hanya dapat ditentukan pagi esok (ini) , sekiranya mereka berjaya melepasi ujian kecergasan, sudah pasti mereka tersenarai pada perlawanan malam esok (ini),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya tidak akan menyenarai mana-mana pemain yang tidak mencapai tahap kecergasan 100 peratus. Usah kata 80 peratus, yang capai 90 peratus pun tidak akan disenaraikan. Saya mahu pemain yang betul-betul cergas berada di atas padang kerana mereka semua perlu bekerja untuk tempoh 90 minit.

“Saya mempunyai ramai pemain simpanan seperti Mohd Nizab (Ayub), Ramzul Zahini (Adenan), S Chanturu, Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli). Jadi mereka harus bersedia memikul tanggungjawab sekiranya diturunkan,” katanya.

Malahan Sathianathan turut mempunyai perancangan yang tersendiri dengan menyenaraikan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin sebagai penyerang utama sekiranya keadaan dilihat terdesak.

Sementara itu, ditanya mengenai lawan yang dihadapi malam ini,  Sathianathan berkata, kebangkitan pasukan KL Plus pada pusingan kedua tidak harus dipandang mudah oleh pemain Kelantan.

Kedudukan Norshahrul Idlan Talaha (kanan) hanya dapat ditentukan melalui ujian kecergasan hari ini

“KL Plus mempunyai beberapa pemain seperti Mohd Fadzli (Shaari), Norhafiz (Zamani Misbah) yang saya rasa sama taraf dengan pemain kita.

“Walaupun diawal musim ini prestasi mereka tidak menyerlah, tetapi kita harus lihat  sekarang mereka telah berjaya memperbaiki kedudukan dalam carta liga. Mereka telah mendapat kembali sentuhan (peningkatan prestasi) sebaik sahaja rehat yang panjang baru-baru ini.

“Saya fikir mereka boleh menjadi pencabar utama dalam kempen Piala Malaysia nanti. Kita pernah menang 3-0 pada pusingan pertama. Itu sudah menjadi sejarah dan kita tidak boleh ambil kira lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment