Wednesday, July 28, 2010

Skuad tempang ke Kota Bharu – Mohd Zan


KOTA BHARU – Skuad tempang ke Kota Bharu. Begitulah perumpamaan tepat ditujukan kepada pasukan KL Plus bagi menghadapi Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Sudah terbayang kerisauan buat pengendali KL Plus, Mohd Zan Mat Aris memikirkan untung nasib pasukannya setelah dua tonggak utama pasukannya tidak dibawa bersama ke Kota Bharu kali ini.

Dua tonggak utama mereka, Mohd Nizaruddin Yusuf dan Es Lizuan Zahid Amir terpaksa disisihkan gara-gara mengalami kecederaan dan digantung perlawanan.

“Sudah pasti perlawanan malam ini menjadi sukar buat kami kerana turun tanpa dua tonggak utama disamping berhadapan dengan ribuan penyokong setia Kelantan malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sejurus tiba di Kota Bharu semalam.

“Dari segi persiapan, kami hanya melakukan persiapan biasa dalam cuti rehat yang panjang setelah berjaya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kedah dalam perlawanan terakhir lalu.

Mohd Zan berkata, Kelantan juga sudah pasti bermain mati-matian untuk mencipta kemenangan kerana peluang pasukan tuan rumah untuk menjadi juara liga masih lagi terbuka ketika ini.

“Bermain di Kota Bharu sememangnya sukar buat mana-mana pasukan lain lebih-lebih lagi untuk mencipta kemenangan disini.

“Kelantan sudah pasti turun dengan misi memburu tiga mata bagi dan mempertahankan rekod tanpa kalahnya sejak beberapa bulan yang lalu.

Menurut Mohd Zan, baki terakhir tiga perlawanan liga itu akan digunakan sebaiknya oleh pasukan KL Plus bagi memperbaiki kedudukan pasukan mereka dalam carta liga.

“Tiga perlawanan terakhir iaitu bertemu Kelantan, Kuala Lumpur dan Terengganu cukup sukar bagi kami. Kami harus mengutip mata daripada tiga pertemuan itu bagi memperbaiki kedudukan pasukan dalam saingan liga musim ini.

Begitupun, Mohd Zan enggan mengaku kalah lebih awal apabila ditanya peluang pasukannya pada pertemuan malam ini, sebaliknya tetap mempertaruhkan gandingan pemain berbisa seperti Mohd Fadzli Shaari, Norhafiz Zamani Misbah, dan Mohd Lot Abu Hassan bagi merobek pintu gol Kelantan,  sekurang-kurangnya mencari keputusan seri pada perlawanan malam ini.

No comments:

Post a Comment