Tuesday, December 27, 2011

CABARAN BESAR MENANTI PIYA

Muhd Badhri mengakui menghadapi saingan sengit untuk berada didalam kesebelasan utama pasukan Kelantan pada musim depan

KOTA BHARU – Melihat kepada senarai barisan pemain skuad The Red Warriors musim depan, ada cabaran besar menanti Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi andai tidak mahu kehilangan posisi tengahnya bersama Kelantan.

Kehadiran beberapa pemain import selain kepulangan semula ‘trio’ ke pangkuan skuad Kelantan bakal menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pemain sudah pasti tercetus untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Muhd Badhri, atau lebih dikenali dengan panggilan Piya ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut mengakui beliau perlu berhadapan cabaran sengit bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan Kelantan pada musim depan.

“Memang saya akui cabaran untuk merebut tempat cukup sengit pada musim depan. Selaku kapten ia merupakan sedikit tekanan namun saya menganggap ia satu perkara yang biasa dalam bola sepak.

“Apa yang penting kita dalam ‘sebuah keluarga’ dapat mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang kita hadapi. Saya tidak kisah siapa yang menjadi kapten Kelantan kalau bukan saya sekali pun.

“Kita sebenarnya sebuah pasukan yang serba lengkap. Kita ada Indra Putra (Mahayuddin), Mohd Norfarhan (Muhammad) dan Norshahrul Idlan (Talaha) yang pernah bersama pada musim 2010. Jadi mereka sudah memahami gaya permainan masing-masing cuma yang membimbangkan kita ialah masalah komunikasi dengan pemain import. Namun saya percaya masalah itu akan dapat diatasi sedikit masa lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler menyifatkan saingan sememangnya sengit bagi perebutan tempat dalam pasukannya dan tidak terkecuali Piya juga harus menunjukkan komitmen yang tinggi sekiranya mahu berada dalam kesebelasan utama pasukan.

“Apa pun saya masih percayakan Piya untuk menjadi jeneral padang tetapi beliau harus ingat kita sekarang mempunyai banyak pilihan termasuk juga pemain import yang boleh diturunkan pada setiap perlawanan.

“Menjadi ketua pasukan sebenarnya bukan satu tugas mudah. Tanggungjawab cukup besar di atas padang kerana perlu mengetuai rakan sepasukan lain dan perlu membentuk kerjasama sepasukan yang jitu jika kita mahu menang.

“Soal siapa yang akan menjadi ketua pasukan itu terserah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) (Tan Sri Annuar Musa). Kalau Piya tidak diturunkan, saya lihat pemain tengah, Mohd Shakir (Shaari) boleh menggalas tugas tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment