Tuesday, December 27, 2011

BUTLER KESAN KELEMAHAN PASUKAN

Butler nyata masih belum berpuas hati dengan prestasi pasukan Kelantan meskipun mencatatkan kemenangan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini

KOTA BHARU – Meskipun mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh skuad The Red Warriors andai mahu menjadi pencabar utama Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.

Sambil merujuk kemenangan 2-0 ke atas pasukan T-Team dalam perlawanan persahabatan terakhir minggu lalu, Ketua Jurulatih Kelantan, Peter James Butler menyifatkan persembahan pasukannya tidak berada pada tahap sebenarnya.

“Sebenarnya kalau melihat corak permainan tempohari, kita boleh menang ke atas T-Team dengan margin jaringan yang besar. Kita boleh menang lima gol, tetapi beberapa kelemahan yang ditunjukkan kita hanya menang dengan dua gol.

“Sebagai jurulatih saya mahu menang setiap perlawanan. Semua pemain perlu ketahui perkara ini. Pengalaman membimbing Kelantan sebelum ini merupakan cabaran besar kepada saya kerana peminat negeri ini sentiasa mahukan kemenangan setiap kali perlawanan.
Disebalik kelemahan tersebut, namun Butler tidak menafikan prestasi yang ditonjolkan oleh anak buahnya sudah menampakkan kemajuan setelah menyambung kembali latihan sejak dua minggu lalu.

“Semua pemain termasuk pemain import sudah menunjukkan peningkatan prestasi yang baik tetapi kita tidak boleh duduk diam dan cepat berpuas hati sahaja. Kita perlu melakukan perubahan dari semasa ke semasa secara optimum.

“Saya berharap empat perlawanan persahabatan yang berbaki dalam tempoh dua minggu akan menjadi platform kepada semua pemain sebelum kita menghadapi sepak mula Liga Malaysia menentang Negeri Sembilan pada 7 Januari depan.

“Untuk itu empat perlawanan tersebut kita akan gunakan sebaik mungkin dengan menilai tahap kecergasan dan menentukan kesebelasan utama pasukan Kelantan,” katanya.

Terbaru, Kelantan akan bertemu juara Liga Prima Indonesia (IPL), Persebaya FC dalam perlawanan pertama perebutan trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada jam 8.45 malam Jumaat ini. 

Sementara itu, perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Gelora, Surabaya pada 28 Disember ini.

No comments:

Post a Comment