Saturday, February 19, 2011

TRW, T-TEAM BUAT PERHITUNGAN

Karathu menyatakan amanatnya kepada pemain Kelantan sejurus selesai menjalani latihan terakhir di Kota Bharu, pagi semalam. 

KOTA BHARU – “Misi hidup atau mati”. Hanya 90 minit yang akan menentukan pasukan manakah yang bakal  melangkah ke pusingan kedua kempen Piala FA musim ini. Begitulah kehangatan yang dirasai apabila pertemuan menarik di antara T-Team menentang Kelantan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui pertemuan menentang T-Team menjanjikan aksi yang cukup berbeza berbanding perlawanan lalu namun ianya sedikit pun tidak memberi tekanan kepadanya apabila pasukan The Red Warriors turun membuat perhitungan dengan pasukan itu malam ini.

“Ini perlawanan pertama kita dalam kempen Piala FA. Dulu saya ingat perlawanan ini diadakan di sini (Kota Bharu). Namun, saya menganggap ini satu perlawanan biasa sebagaimana kita hadapi perlawanan liga sebelum ini dan sudah pasti kita mahu menang apabila bertandang ke Kuala Terengganu malam esok (malam ini),” katanya ketika ditemui Sinar Harian sejurus sesi latihan terakhir semalam.

“Ini saingan kalah mati dan tidak ada timbal balik dalam pusingan pertama. Pasukan yang menang dalam perlawanan ini akan layak ke pusingan kedua. Saya menganggap perlawanan ini merupakan satu perlawanan akhir yang mesti kita menang.

“Saya mengarahkan pemain saya bermain mati-matian dalam perlawanan ini dan menunjukkan persembahan terbaik seperti mana dalam empat perlawanan liga terdahulu. Adalah penting bagi pemain mengekalkan momentum kemenangan dan pada masa yang sama menanamkan sikap mahu menang setiap kali turun beraksi,” katanya.

Menurut Karathu, beliau tidak akan memandang rendah sama sekali keupayaan pasukan T-Team walaupun pasukan kendalian Yunus Alif itu kini berada di kelompok terbawah carta liga setakat ini.

“Walaupun tercorot dalam carta liga ketika ini, mereka mempunyai barisan pemain yang baik. Saya difahamkan mereka beraksi dengan baik dalam empat perlawanan terdahulu cuma nasib tidak menyebelahi mereka untuk menang.

“Memang mereka mempunyai tiga bekas pemain yang pernah bersama Kelantan musim lalu. Jadi kita tahu dan mereka pun tahu setiap kelebihan dan kelemahan pasukan masing-masing. Saya fikir itu bukan masalah besar bagi kita apabila bertemu mereka.

“Perlawanan ini berbeza seperti mana perlawanan liga. Apa yang penting pemain kita perlu mengekalkan momentum kemenangan dan mereka perlu menguatkan ketahanan mental sepanjang 90 minit perlawanan malam ini. Saya mahu pemain kita menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment