Saturday, February 19, 2011

KEKEBALAN 'APEX' TERUJI

Apex bakal berdepan bekas tiga rakan lamanya, malam ini
 
KOTA BHARU – Reputasi Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga gawang utama negara sekali teruji  apabila bakal berhadapan dengan bekas tiga rakan lamanya dalam perlawanan pusingan pertama Kejohanan Piala FA menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Tiga pemain yang dimaksudkan ialah bekas Kapten Kelantan musim lalu, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose yang memilih untuk beraksi bersama T-Team musim ini.

Bagi Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Apex’, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk memastikan gawang gol Kelantan tidak dibolosi pemain T-Team dalam perlawanan malam ini.

“Saya sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan malam ini. Tiada masalah apabila berhadapan dengan ketiga-tiga pemain itu kerana saya mengenali dengan corak permainan mereka dan mereka juga memahami gaya permainan saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Dulu lain dan sekarang lain. Dulu kita bersama B Sathianathan tetapi sekarang kita ada jurulatih baru (Datuk M Karathu). Jadi taktikal yang diterapkan oleh jurulatih baru amat berbeza dan sudah pasti mereka tidak mengetahui.

“Mungkin mereka mengetahui kelemahan saya. Setiap pemain ada kelemahan masing-masing. Jadi apa jua kelemahan saya, saya akan perbaiki termasuk dalam perlawanan malam ini, “katanya.

Menurut Khairul Fahmi, sekali pun ketiga-tiga pemain itu bakal diberi perhatian oleh pemain Kelantan namun pada masa yang sama dia tidak mahu rakan sepasukannya mengabaikan kelibat pemain tuan rumah yang lain.

“Saya meramalkan perlawanan malam ini dijangka cukup sengit. Mereka mempunyai ramai pemain berpengalaman. Saya akui kelebihan mungkin memihak kepada mereka. Namun tidak mudah untuk mereka untuk memenangi perlawanan ini dan kita datang ke Kuala Terengganu bukan untuk mencatatkan kekalahan.

“Barisan jentera serangan mereka cukup merbahaya diketuai Mohd Haris Safwan (Md Kamal). Selain itu, mereka juga mempunyai Zairo (Annuar Zalani) yang akan membantu Indra Putra (Mahayuddin) dan Mohd Norfarhan (Muhammad) yang akan menggerakkan jentera tengah pasukan mereka.

“Saya berharap rakan sepasukan dapat beraksi dengan cemerlang malam ini. Kita akan bermain sebagai satu unit pasukan. Berkat sokongan padu peminat Kelantan, Insya Allah kita mampu melakarkan kemenangan dalam perlawanan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment