Wednesday, February 16, 2011

SAIROZI DAUD MENINGGAL DUNIA


Jenazah Allahyarham Sairozi Daud dibawa keluar daripada Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu untuk dibawa ke kampung halamannya di Pulai Chondong, dekat Machang semalam.

KOTA BHARU - Bekas pemain Kelantan, Sairozi Daud yang menderita akibat penyakit barah tengkuk sejak setahun lalu meninggal dunia di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu setelah mendapat rawatan di hospital tersebut sejak awal Januari lalu. 

Allahyarham Sairozi, 32 tahun atau lebih dikenali panggilan ‘Abe’ dikalangan peminat bola sepak tempatan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi menghembuskan nafas terakhirnya disisi isterinya, Aisyah Norehan Azhari, 25 tahun serta kedua-dua orang tuanya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Kampung Pangkal Nering Timur, Machang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan, selepas solat Zohor tengahari semalam. 

Penderitaan yang dialami pemain tersebut pernah dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian pada awal Disember tahun lalu dan pernah mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood serta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa selain beberapa pihak lain yang tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban yang dihadapi keluarga pemain tersebut. 

Sementara itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham diatas pemergian bekas pemain yang pernah mencipta nama bersama pasukan negeri ini.

“Pemergian Allahyarham Sairozi merupakan satu kehilangan besar bagi bola sepak Kelantan. Arwah merupakan bekas  pemain  yang cukup dedikasi, berdisiplin serta pernah mengharumkan nama negeri ini suatu ketika dahulu.

“Sebagai menghormati pemergian beliau, kita akan bertakafur seketika bagi menghadiahkan Al-fatihah buat arwah sebelum sepak mula perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammed IV, malam esok (ini),” katanya. 

Penyakit yang dihadapi Allahyarham mula dikesan pada awal Februari tahun lalu dan beliau pernah menjalani pembedahan di Hospital Pakar Sultan Abdul Samad, Johor Bahru.

Allahyarham pernah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak tujuh kali dan radioterapi sebanyak 36 kali ketika mendapat rawatan disana sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya pada penghujung bulan Oktober tahun lalu.

Allahyarham memulakan kerjayanya selaku pemain bola sepak Kelantan apabila membantu negeri ini memenangi kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada tahun 2004. Setahun kemudian beliau membantu pasukan Kelantan muncul juara Piala FAM sebelum diangkat beraksi dalam Liga Perdana tahun berikutnya.

Pada tahun 2007, beliau bersama-sama seorang lain pemain, Azlan Ismail mengambil keputusan berhijrah ke Perlis sebelum memilih bermain dengan kelab Kuala Muda NAZA dalam Liga Perdana tahun berikutnya. Pada tahun 2009, beliau mengambil keputusan berhijrah ke Johor sebelum menyarung jersi kelab Johor FC pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment