Wednesday, February 16, 2011

KUALA LUMPUR TAK RELA KECUNDANG


RAZIP ISMAIL

KOTA BHARU – Kejayaan mengikat keputusan seri 1-1 dengan Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam tempohari masih segar dalam ingatan namun peringatan keras segera diberikan Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail terhadap pemainnya supaya berwaspada apabila berhadapan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Razip mengakui, pertemuan menentang Kelantan malam ini menjanjikan sesuatu yang menarik lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan setakat ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

“Memang Kuala Lumpur akan bertindak sebagai tuan tumah dalam perlawanan malam ini namun itu tidak menjanjikan sebarang kelebihan buat kami. Ianya seumpama perlawanan ditempat lawan dan kami terpaksa berhadapan dengan sebuah pasukan yang cukup kuat seperti Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Ini merupakan satu perlawanan yang cukup sukar bagi kami. Lebih sukar daripada pertemuan menentang Selangor tempohari kerana Kelantan berada dalam situasi terbaik meneruskan momentum kecemerlangannya setelah mencatatkan kemenangan besar ke atas Johor FC tempohari.

“Kelantan merupakan sebuah pasukan yang kuat dan saya menghormati pasukan itu kerana bergelar juara baru-baru ini. Kita akan cuba sedaya upaya menyaingi mereka dalam perlawanan ini. Kita akan turun sebagai ‘underdog’ dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurut Razip, sekalipun mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini namun beliau mengakui saingan liga baru sahaja bermula dan masih banyak ranjau perlu dilalui pasukan mereka dalam menghadapi perlawanan liga selepas ini.

“Saya tidak berminat untuk mencipta rekod (tanpa kalah) kerana kita baru bermain tiga perlawanan setakat ini. Apa yang boleh saya katakan, pemain saya akan berusaha keras untuk sekurang-kurangnya mendapatkan mata di sini.

“Persiapan pasukan berjalan lancar dan moral pemain juga dalam keadaan baik. Hanya dua pemain iaitu Ahmad Dashila Tajudin dan Ahmad Hazwan Bakeri mengalami kecederaan buku lali. Keputusan sama ada mereka disenaraikan atau tidak bergantung kepada sesi latihan terakhir hari ini (semalam),” katanya.

Rekod pertemuan musim lalu berpihak kepada Kelantan dimana dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu, Kelantan menang 3-0 hasil dua gol jaringan Norshahrul Idlan Talaha dan Muhd Badhri Radzi sementara dalam perlawanan pusingan kedua di Cheras, Kuala Lumpur sekali lagi tersungkur menerusi kekalahan 0-2 kepada Kelantan.

No comments:

Post a Comment