Monday, August 2, 2010

KEMENANGAN YANG TIDAK DIDUGA - SATHIA


Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha cuba melepasi kekangan pemain pertahan Johor FC dalam perlawanan yang berkesudahan Kelantan menewaskan Johor FC 3-1 di Pasir Gudang malam semalam.

KOTA BHARU – Kelantan mengesahkan tempat selaku naib juara Liga Super musim ini setelah berjaya menewaskan Johor FC 3-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam semalam.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, beliau tidak menduga Kelantan mampu menjaringkan tiga gol pada perlawanan itu kerana Johor FC turut turun dengan misi mencipta kemenangan bagi memburu tempat ketiga dalam saingan liga.

“Pujian harus diberikan kepada pemain Kelantan yang menunjukkan persembahan yang cukup cemerlang walaupun diberi tentang sengit oleh pemain Johor FC,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walaupun corak permainan pemain tuan rumah agak kasar dalam perlawanan itu, tetapi pemain Kelantan tidak terikut-ikut dengan rentak mereka, sebaliknya tetap mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi ketika beraksi.

Menurut Sathianathan, apa yang penting, Kelantan kini muncul sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas sejak enam bulan lalu.

“Kita juga turut mencatatkan rekod apabila muncul satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas apabila bermain di gelanggang lawan. Apa yang saya lihat, sudah ada tahap keyakinan yang tinggi dikalangan semua pemain setiap kali beraksi.

Ditanya adakah beliau akan merehatkan kesemua tonggak utama pasukan pada perlawanan menentang T-Team malam esok, beliau sesekali tidak akan memperjudikan nasib Kelantan dalam perlawanan itu.

“Itu bukan cara saya. Saya tetap akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi perlawanan malam esok. Penyokong membayar tiket untuk menyaksikan perlawanan itu dan seharusnya harga yang perlu dibayar ialah dengan mencipta kemenangan.

“Saya mahu para pemain saya mempamerkan persembahan terbaik dan mencipta kemenangan sebagai hadiah kepada para penyokong yang berdiri teguh dibelakang kita selama ini.

“Sudah pasti saya mahu tiga mata penuh malam esok. Pemain harus menunaikan hasrat saya bagi kita meraikan kejayaan mendapat tempat kedua dalam saingan Liga Super musim ini.

Perlawanan malam esok merupakan aksi terakhir sebelum Liga Super melabuhkan tirainya dengan Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu, sambil dua jagoan pantai timur, Kelantan dan Terengganu mengisi slot pasukan kedua dan ketiga terbaik dalam saingan liga musim ini.

No comments:

Post a Comment