Monday, August 2, 2010

KELAB PENYOKONG UCAP TAHNIAH



KOTA BHARU – Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada empat tokoh bola sepak Kelantan, diketuai Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa diatas kejayaan memenangi jawatan yang dipertandingkan sempena Kongres Tahunan kali ke-47 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dua hari lalu.

Setiausahanya, Azman Mohd Noor berkata, pihak kelab penyokong berasa berbangga diatas pemilihan empat tokoh bola sepak Kelantan yang terpilih menduduki barisan kepimpinan  baru badan induk bola sepak kebangsaan itu.

“Sebagai mewakili penyokong setia bola sepak Kelantan, sudah pasti kita berbangga kerana pada pemilihan pucuk pimpinan baru FAM kali ini, kesemua empat calon dari Kelantan telah berjaya mengisi jawatan yang dipertandingkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Kita percaya, keempat-empat calon mempunyai kredibiliti yang tersendiri dan mampu menggembleng tenaga, masa dan idea baru membantu kecemerlangan badan induk bola sepak kebangsaan itu dalam tempoh empat tahun ini.

“Annuar Musa misalnya, selama tiga tahun memimpin Kafa penuh dengan pelbagai cetusan idea dan kejayaan yang tidak terduga. Manakala sumbangan Affandi Hamzah yang sudah satu dekad bersama bola sepak Kelantan tidak boleh dipertikaikan.


“Rosmadi Ismail, biarpun dilihat orang baru tetapi sebenarnya sudah 10 tahun bersama dalam jatuh bangun bola sepak Kelantan manakala Takiyuddin Hassan selaku Presiden PBSMM ternyata mempunyai pengalaman yang cukup menarik memimpin persatuan bola sepak melayu dinegara ini,” katanya.

Dalam pemilihan barisan kepimpinan baru sempena Kongres Tahunan kali ke-47 FAM yang berlangsung dua hari lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa memenangi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah pula mempertahankan jawatan Naib Presiden FAM yang disandang sejak tiga tahun lalu.

Sementara calon paling muda, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail turut memenangi salah satu jawatan Ahli Eksekutif. Seorang lagi calon dari Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) turut terpilih menjawat jawatan Ahli Eksekutif itu.

Sementara itu, Azman berharap, para penyokong setia bola sepak Kelantan tidak terlalu kecewa diatas kegagalan Kelantan meraih gelaran juara Liga Super musim ini.

“Kegagalan dalam Liga Super tidak melemahkan semangat kita, bahkan semangat itu akan kita bawa ke pentas saingan Piala Malaysia yang akan bermula selepas Hari Raya AidilFitri nanti.

“Sudah pasti kita mengimpikan piala paling berprestij di negara ini dibawa pulang ke bumi negeri Kelantan setelah kita gagal berbuat demikian pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, pihak kelab penyokong menyeru kepada penyokong setia bola sepak Kelantan hadir beramai-ramai menyambut kepulangan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa jam empat petang hari ini.

No comments:

Post a Comment