Sunday, August 1, 2010

Empat tokoh bola sepak Kelantan terajui FAM


KOTA BHARU – Pemilihan barisan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi tempoh empat tahun datang membuka dimensi baru bola sepak negara apabila empat tokoh bola sepak Kelantan dipilih menduduki tiga jawatan berbeza dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa memenangi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah pula mempertahankan jawatan Naib Presiden FAM yang disandang sejak tiga tahun lalu sementara calon paling muda, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail turut memenangi salah satu jawatan Ahli Eksekutif.

Sementara itu, seorang lagi calon dari Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) turut terpilih menjawat jawatan Ahli Eksekutif itu. 

Rosmadi Ismail

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, bagi pihak Kafa sendiri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada tiga tokoh bola sepak Kelantan yang berjaya memenangi pemilihan pada Kongres FAM kali ini.

“Pihak Kafa yakin perubahan pucuk pimpinan dinaungi Tuanku Sultan Ahmad Shah beserta barisan timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli eksekutif baru mampu mengubah senario bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pemilihan Annuar Musa tepat pada masanya dengan pelbagai idea-idea baru yang mampu mengangkat kembali martabat bola sepak negara.,” katanya.

Menurut Mohamad Noordin, resipi kejayaan Annuar Musa menerajui Kelantan selama hampir tiga tahun dijangka diterapkan semasa bersama FAM nanti.

“Sudah pasti seluruh rakyat Kelantan berbangga diatas pemilihan keempat-empat tokoh bola sepak ini, kita berdoa semoga mereka yang terpilih ini mampu memikul tanggungjawab yang diberikan bagi memastikan kecemerlangan bola sepak negara berterusan,” katanya.

Naib Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah ketika dihubungi berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada ahli perwakilan yang terus memberi peluang kepadanya untuk terus menjawat jawatan tersebut bagi tempoh sepenggal lagi.

“Pemilihan pucuk pimpinan baru ini sudah pasti mempunyai tanggungjawab yang cukup  besar untuk mencongak pembangunan baru bola sepak negara dalam tempoh empat tahun akan datang.

Mohamad Noordin Awang

“Barisan kepimpinan sebelum itu sudah pun melakukan segala yang terbaik demi kemajuan bola sepak negara, dan saya percaya mereka yang terpilih pada hari ini sudah pasti turut mempunyai idea-idea baru yang berupaya membuat penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail ketika dihubungi berkata, beliau melihat pucuk pimpinan pada kali ini merupakan gandingan diantara orang baru dengan orang lama.

“Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa dilihat mempunyai kredibiliti yang tersendiri untuk membantu Presiden, Sultan Ahmad Shah menerajui FAM dengan lebih lancar lagi.
Datuk Afandi Hamzah

“Idea-idea baru yang boleh dicetuskan dikalangan pucuk pimpinan ini termasuk juga daripada golongan muda dijangka mampu membentuk badan induk bola sepak kebangsaan itu menjadi lebih kuat.

“Kita akan sama-sama berusaha menggembleng tenaga memajukan bola sepak negara. Sudah ada tanda-tanda positif kebangkitan bola sepak negara kita kalau dilihat kepada perlawanan persahabatan antarabangsa diantara negara kita dengan Korea Selatan baru-baru ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment