Saturday, July 31, 2010

SAYA TETAP BANGGA - SATHIANATHAN


B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Tidak terpalit sedikit pun rasa kecewa buat pengendali, B Sathianathan  andai ditakdirkan Kelantan hanya dinobatkan sebagai naib juara Liga Super musim ini pada ketika saingan liga masih berbaki dua perlawanan lagi untuk ditamatkan.

Menjadi pasukan kedua terbaik dalam liga bola sepak paling berprestij di negara ini merupakan satu pencapaian terbaik bagi pasukan Kelantan dalam masa yang singkat setelah mendapat tempat keenam musim lalu.

Pada ketika Selangor hanya selangkah lagi berpeluang mempertahankan piala yang dimenanginya musim lalu,  Kelantan sudah pun mengesahkan tempat selaku naib juara tanpa dapat dicabar oleh Terengganu.

Perlawanan Liga Super malam esok memungkinkan noktah penantian peminat bola sepak Kelantan sejak tujuh bulan yang lalu akan berakhir.  Sama ada berpeluang menjadi juara atau tidak, semua bergantung kepada keputusan pertemuan diantara Selangor menentang Terengganu.

Sathianathan berkata, sekiranya Kelantan gagal memenangi kejuaraan liga pada musim ini, beliau tetap merasa bangga membimbing pasukan The Red Warriors sejak hampir setahun lalu.

“Bukan mudah untuk membina sebuah pasukan sehingga digeruni di pentas bola sepak tempatan dalam masa tidak sampai satu tahun. Saya berbangga melatih Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Dua tahun lalu, Kelantan menjadi pasukan ketiga terbaik dalam Liga Perdana. Tahun lepas kita berada di tempat keenam keseluruhan dalam Liga Super. Musim ini kita sudahpun mengesahkan tempat sebagai pasukan kedua terbaik dalam liga.

“Ini satu pencapaian yang membanggakan dalam tempoh yang singkat. Saya kira misi yang dicetuskan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa hampir mencapai matlamatnya.

Menurut Sathianathan, apa yang penting kejayaan yang dikecapi dalam saingan liga itu harus diteruskan dalam kempen Piala Malaysia akan datang.

Sementara itu ketika mengulas mengenai perlawanan menentang KL Plus malam semalam, bekas pengendali pasukan kebanggsaan itu berkata, beliau berpuashati dengan persembahan keseluruhan para pemainnya pada perlawanan tersebut.

“Saya berpuashati kerana kita berjaya mengutip tiga mata penting pada perlawanan itu walaupun kita turun tanpa dua tonggak utama pada perlawanan itu.

“Apabila kita selesa mendahului 3-0, pemain kita sedikit leka sebelum membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol. Mereka kemudian bangkit daripaa kealpaan itu dan seterusnya menjaringkan satu gol lagi.

“Saya membuat tiga pertukaran bagi memastikan beberapa pemain kita tidak mengalami keletihan yang berpanjangan. Saya perlu simpan tenaga mereka sebagai persediaan menghadapi Johor FC malam esok kerana kita hanya mempunyai rehat selama dua hari sahaja,” katanya.

Pada perlawanan menentang KL Plus malam semalam, Kelantan turun tanpa perancang tengah, Muhd Badhri Radzi yang mengalami demam sementara S Chanturu terpaksa disisihkan kerana masih mengalami kecederaan kakinya.

1 comment: