KELANTAN 3
Mohd Norfarhan Muhammad (m-47)
Hairuddin Omar (m-90)
PERAK 0
KOTA BHARU – Reputasi Kelantan selaku pencabar utama dalam perebutan kejuaraan Liga Super musim ini kian terserlah apabila menewaskan Perak 2-0 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.
Terima kasih kepada jaringan Mohd Norfarhan Muhammad dan Hairuddin Omar pada awal babak kedua dan minit-minit akhir perlawanan yang muncul sebagai wira sebenar The Red Warriors pada perlawanan malam tadi.
Kemenangan ke atas pasukan Seladang itu mengukuhkan kedudukan The Red Warriors di tangga kedua liga dengan mengumpul 45 mata setakat ini.
Beraksi dihadapan hampir 18,000 penyokong setia Merah Putih, jelas reputasi Kelantan hampir tenggelam dengan semangat juang pemain muda Perak yang ternyata tidak mudah menyerah kalah.
Seawal minit ke-12, Kelantan mempunyai peluang terbaik untuk berada dihadapan apabila hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin menyaksikan tandukan Akmal Rizal Ahmad Rakhli sedikit tersasar.
Sementara pada minit ke-21, hantaran Muhd Badhri Radzi kepada Indra Putra Mahayuddin pula menyaksikan kuisan ketua pasukan Kelantan itu melepasi pintu gol Perak.
Perak yang mempertaruhkan gandingan Mohd Saufi Sa’aidi dan Muhammad Nazri Mohd Kamal pula dilihat begitu sukar menebusi benteng pertahanan Kelantan yang diketuai Azizi Matt Rose.
Percubaan terbaik pasukan pelawat hadir pada minit ke-33 melalui rembatan Shafuan Adli Shaari yang terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.
Sementara percubaan terbaik Kelantan pada minit-minit akhir separuh masa pertama melalui tandukan Akmal Rizal dan disusuli rembatan tinggi Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid menutup tirai aksi tanpa jaringan kedua-dua pasukan.
Memasuki babak kedua, Kelantan tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi jaringan pertamanya.
Minit ke-47, Mohd Norfarhan Muhammad menggamatkan suasana di stadium apabila rembatan kencangnya daripada luar kotak penalti menggegarkan jaring pintu gol pelawat setelah menyambut baik hantaran Mohd Daudsu Jamaluddin.
Aksi serba tidak menjadi pemain Kelantan selepas itu meresahkan ribuan penyokong setia Merah Putih apabila serangan demi serangan pemain Kelantan mudah dipatahkan oleh benteng pertahanan Perak yang diketuai K Nanthakumar.
Sebaliknya, pasukan pelawat melalui rangkaian pemain muda mereka pula dilihat sentiasa mencemaskan benteng pertahanan Kelantan.
Minit ke-82, Hairuddin Omar sepatutnya meletakkan Kelantan dalam keadaan lebih selesa apabila mensia-siakan peluang yang terhidang melalui rembatan liar biarpun tanpa dicabar oleh pemain pertahanan Perak.
Hairuddin Omar muncul wira The Red Warriors setelah menjaringkan
gol kedua pada minit-minit akhir perlawanan.
Kelantan terpaksa bermain dengan sepuluh pemain pada minit ke-83, setelah pemain gantian ketiga, Cik Hisamuddin Hassan yang baru sahaja dimasukkan terpaksa diusung keluar dan dikejarkan ke hospital setelah mengalami kecederaan serius akibat terjatuh.
Minit-minit akhir perlawanan, Hairuddin Omar menebus kembali kesilapannya sebelum itu apabila bijak memanfaatkan peluang melalui rembatan kencang yang tepat menerjah jaring sebelah kanan pintu gol Perak setelah menerima umpanan Norshahrul Idlan Talaha.
Ternyata kemenangan anak didik B Sathianathan pada perlawanan malam tadi sedikit sebanyak melegakan penyokong setia The Red Warriors biarpun pendahulu liga, Selangor masih lagi bernafsu mencipta kemenangan sekalipun tanpa pengendali pasukan, K E Devan yang masih menjalani penggantungan perlawanan.
KESEBELASAN UTAMA PEMAIN :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail,Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Norfarhan Muhammad, Muhd Badhri Radzi (Cik Hisamuddin Hassan), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Hairuddin Omar) dan Norshahrul Idlan Talaha.
Formasi : 4-4-2
PERAK : Khairul Izwan Mohamed Jamaludin, S Sathiakumaran, K Nanthakumar (KP), Khairul Izzat Jamaluddin, Mohd Syazwan Roslan, Mohd Arif Ismail, Shahrizal Saad, Wan Azwari Wan Nor, Mohamad Khalis Ibrahim, Muhammad Nazri Mohd Kamal (Isma Alif Mohd Salim), dan Mohd Saufi Sa’aidi (Thevaggaran).
Formasi : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN :
Percubaan tepat : Kelantan (3) Perak (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (12) Perak (2)
Sepakan sudut : Kelantan (9) Perak (2)
Sepakan percuma : Kelantan (9) Perak (10)
Offsaid : Kelantan (3) Perak (2)
Kekasaran : Kelantan (8) Perak (7)
Kad kuning : Kelantan (Indra Putra Mahayuddin), Perak (Mohd Syazwan Roslan)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Tujuh minit
Penguasaan bola : Kelantan ( 55%) Perak (45 %)
PENGADIL :
Pengadil : Ahmad Boestaman
Penolong Pengadil 1 : Zulfikar Abdullah
Penolong Pengadil 2 : Mohd Fazli Ishak
No comments:
Post a Comment