Thursday, May 27, 2010

KITA MASIH ADA PELUANG : SATHIANATHAN



KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan tidak menganggap keputusan seri tanpa jaringan dengan Kedah pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam semalam membantut hasrat Kelantan untuk memburu kejuaraan liga pada musim ini.

Sebaliknya, B Sathianathan secara positif  tetap mempertahankan prestasi cemerlang anak buahnya meskipun sekadar mencatatkan keputusan seri dengan pasukan tuan rumah.

“Keputusan seri ini saya rasa adil bagi walaupun kedua-dua pasukan turun dengan misi yang berbeza untuk mencatatkan kemenangan,”katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Persembahan kita pada separuh masa pertama kurang baik, banyak hantaran kurang tepat dilakukan oleh pemain kita. Walaubagaimanapun, kita berjaya menemui kembali rentak permainan pada separuh masa kedua.

“Sekurang-kurangnya empat peluang yang terhidang pada separuh masa kedua disia-siakan oleh jentera serangan Kelantan. Saya kira kegagalan kombinasi bahagian serangan dan tengah memanfaat peluang tersebut menafikan peluang kita untuk mengutip tiga mata di Alor Setar.

Menurut Sathianathan, pemain Kelantan mungkin sedikit tertekan dengan kedudukan Kelantan ditangga kedua liga yang kini sedikit ketinggalan daripada pendahulu liga, Selangor dengan kelebihan lapan mata dihadapan.

“Pemain mungkin kecewa dengan keputusan seri ini, tetapi saya ingatkan kepada pemain saya, usah pedulikan dengan reputasi Selangor pada ketika ini. Apa yang penting, kita perlu mengekalkan momentum kemenangan pada setiap perlawanan melibatkan pasukan kita dan bukannya pasukan lain.

“Kita masih ada baki lapan lagi perlawanan yang perlu diharungi. Apa-apa pun boleh terjadi sepanjang saingan liga ini. Baik pasukan Selangor mahupun pasukan lain, saingan masih lagi terbuka dan peluang Kelantan tidak boleh kita katakan sudah tertutup.

“Cuma yang penting kita perlu sentiasa konsisten pada setiap perlawanan. Saya tidak mahu kita main bagus pada separuh masa pertama, kemudian persembahan merosot pada separuh masa kedua. Saya mahu anak-anak buah saya terus mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan,’ katanya.

Ditanya mengenai persiapan pasukan menjelang pertemuan menentang Pulau Pinang pada Sabtu ini, Sathianathan berkata, beliau akan melakukan sedikit rombakan pada pertemuan dengan Pulau Pinang nanti.

“Indra Putra (Mahayuddin) terpaksa diketepikan kerana digantung satu perlawanan setelah mengutip tiga kad kuning. Tambahan pula dia mengalami kecederaan setelah dibentes oleh penjaga gol Kedah pada perlawanan malam semalam. 

Khidmat ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin terpaksa
diketepikan kerana digantung satu perlawanan.

No comments:

Post a Comment