Monday, May 31, 2010

KELANTAN TERUS MENGEJAR


KOTA BHARU – Kejayaan Kelantan menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan malam semalam, meletakkan Kelantan kembali ke landasan yang tepat dalam mengejar kejuaraan liga musim ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ternyata cukup gembira dengan kemenangan itu setelah Kelantan dipaksa ‘ketinggalan’ satu gol pada suatu ketika.

“Bermain bola sepak dalam keadaan hujan lebat dan padang yang becak bukanlah satu persembahan yang menarik untuk dipertontonkan. Kita memulakan aksi cemerlang pada 15 minit pertama sebelum persembahan kita kembali mendatar dengan pemain kerap hilang punca disamping gagal mengekalkan disiplin di atas padang,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita kembali bangkit pada separuh masa kedua dengan mempamerkan persembahan yang bertenaga. Kita seharusnya mampu memperolehi lebih daripada tiga gol pada perlawanan itu.

“Pemain kita mungkin sedikit kepenatan setelah menghadapi dua perlawanan dalam tempoh lima hari disamping terpaksa bermain dalam hujan yang lebat. Walaubagaimanapun, saya tetap berpuashati dengan persembahan pemain saya. Mereka kembali menunjukkan persembahan yang cemerlang setelah seri dengan Kedah tempohari,”katanya.

Pada perlawanan malam semalam, Pulau Pinang terlebih dahulu mendahului Kelantan melalui jaringan Mohd Failee Ghazali pada minit ke-22.

Kelantan terpaksa menunggu sehingga minit ke-66 untuk menyamakan kedudukan melalui jaringan Hairuddin Omar sebelum penyerang berbisa, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menambah gol kedua Kelantan pada minit ke-75.

Pemain gantian, Che Hisamuddin Hassan memastikan derita pasukan tuan rumah berpanjangan apabila menjaringkan gol ketiga The Red Warriors pada minit ke-88 perlawanan.

Menurut Sathianathan, tegurannya kepada pemain pada waktu rehat separuh masa pertama menampakkan perubahan yang cukup ketara sebaik babak kedua bersambung .

“Saya mengarahkan pemain saya menukar corak serangan dengan bermain dengan lebih laju disamping memastikan hantaran dilakukan dengan tepat. Ternyata pemain mengikuti arahan itu dan mereka kembali menemui rentak seterusnya menguasai sebahagian babak kedua perlawanan.

Tanpa berselindung, B Sathianathan turut memuji persembahan beberapa pemain gantian seperti Hairuddin Omar, Khairan Eroza Razali dan Cik Hisamuddin Hassan selain Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang diturunkan sepenuh masa pada perlawanan itu.

 Aksi Hairuddin Omar

“Mereka memanfaatkan peluang yang ada walaupun diturunkan sebagai pemain gantian. Sesuatu yang anda harus tahu bahawa pemain simpanan yang kita ada mempunyai keupayaan yang seimbang dengan pemain yang berada didalam kesebelasan utama. 

“Kita mempunyai Norshahrul Idlan (Talaha) yang mengetuai senarai penjaring gol terbanyak Kelantan, tetapi itu tidak bermakna kita harus bergantung kepada dia seorang sahaja untuk menjaringkan gol. Pemain-pemain lain harus mengambil tanggunggjawab yang sama, dan saya berpuashati apabila ketiga-tiga gol pada perlawanan malam semalam dijaringkan oleh pemain yang berbeza,” katanya.

No comments:

Post a Comment