MOHD ZAN MAT ARIS
KOTA BHARU – Kepulangan tiga bekas pemain skuad Harimau Muda A ke pangkuan Terengganu dilihat mampu memperkuatkan pasukan tersebut bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula 7 Januari ini.
Tiga pemain yang dimaksudkan iaitu Mohamad Muslim Ahmad dan Mohd Faizal Muhamad yang beraksi di posisi pertahanan sementara Abdul Shukor Jusoh di posisi tengah kembali menyertai pasukan negeri ini apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melepaskan mereka daripada skuad Harimau Muda A setelah usia mereka melebihi 23 tahun.
Ketua Jurulatihnya, Mohd Zan Mat Aris menyifatkan pengalaman yang dimiliki oleh tiga pemain tersebut dapat membantu skuad Peteh menghadapi saingan liga domestik selain Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan bermula awal Mac nanti.
“Jelas mereka memiliki pengalaman luas ketika mewakili skuad Harimau Muda A dan saya percaya kehadiran mereka dapat menyuntik kekuatan pasukan kita terutamanya di bahagian pertahanan dan tengah.
“Daripada segi prestasi yang ditonjolkan, saya cukup berpuas hati dengan komitmen mereka sepanjang mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini. Malah mereka dilihat mudah menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang lain walaupun baru menyertai kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang Kelantan di Kota Bharu malam semalam. Aksi perlawanan yang masih terikat seri tanpa jaringan itu walaubagaimanapun terpaksa dihentikan pada m-35 akibat hujan lebat yang turun sepanjang perlawanan itu.
Bekas pengendali pasukan KL Pos Malaysia FC pada musim ini turut menyifatkan pasukan barunya itu tidak sesekali gentar menghadapi saingan Liga-M meskipun terpaksa menggunakan tenaga seorang pemain import, Muhammadou Suamarez dari Gambia sehingga April ini.
“Itu bukan masalah besar dan saya tidak gusar memikirkan perkara itu. Meskipun kita hanya dapat gunakan seorang pemain import namun saya masih percayakan kemampuan pemain-pemain tempatan kita.
“Prestasi pemain tempatan sepanjang musim ini cukup memberangsangkan dan saya percaya dengan barisan pemain yang ada kita mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan lain,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Zan turut mengesahkan bekas penyerang kelab Al-Ahly yang beraksi dalam Liga Mesir, Francis Forkey Doe dari Liberia sudah mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk beraksi bersama pasukannya bagi Kejohanan Piala AFC.
No comments:
Post a Comment