Saturday, January 21, 2012

KEMENANGAN CETUS INSPIRASI


                           Mohammed Ghaddar (kiri) masih tercari-cari keserasian bersama rakan sepasukannya lain.


KOTA BHARU – Tiga mata yang diraih setelah menumbangkan pasukan berstatus kelab, Johor FC 2-1 malam semalam ternyata mengembalikan semula keyakinan peminat tempatan meskipun The Red Warriors dilihat belum mempamerkan perwatakan sebenar bergelar sang juara.

Ketua Jurulatih, Peter Butler berkata, kemenangan tersebut hadir tepat pada masanya dan menjadi motivasi tinggi bagi pemainnya menghadapi Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat ini.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini. Lebih-lebih lagi ia merupakan kemenangan pertama kita di hadapan penyokong sendiri. Saya tahu sebelum perlawanan, pemain kita nampak tertekan untuk mencipta kemenangan namun mereka telah membuktikan mampu melakukannya.

“Beraksi di atas padang yang lembut dan tidak rata memberi masalah kepada pemain namun barisan pemain masih mampu mempamerkan persembahan yang menarik sepanjang perlawanan ini.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi semua pemain meskipun gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang pada babak pertama. Mereka belajar daripada kesilapan sehingga berjaya menjaringkan dua gol pada babak kedua,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin mencetuskan inspirasi kebangkitan The Red Warriors dalam perlawanan tersebut apabila menolak masuk pada m-55 perlawanan namun disamakan oleh Johor FC lapan minit kemudian menerusi tandukan Ketua Pasukannya, Mohamad Khairul Ismail.

Begitu pun, pemain paling bernilai dalam Liga Malaysia musim lalu, Norshahrul Idlan Talaha memastikan tiga mata berpihak kepada Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan pada m-72 perlawanan.

Dalam pada itu, Butler turut mengakui ketumpulan jentera serangan masih menghantui pasukan kendaliannya dan beliau memerlukan sedikit masa untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

“Masalahnya ialah Mohammed Ghaddar tidak dapat berkomunikasi dengan baik dalam  bahasa Inggeris. Ini menyukarkan pemain lain tetapi saya percaya dia sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah tersebut.

“Prestasi Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) juga begitu membanggakan saya. Dia merupakan seorang pemain yang bagus dan sentiasa bekerja keras untuk membantu pasukan dan semangat seperti inilah harus dicontohi oleh rakan sepasukan yang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment