Thursday, December 8, 2011

PBSMM TANGGUH HASRAT SERTAI LIGA-M


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) menangguhkan hasratnya untuk menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan setelah berdepan dengan kekangan kewangan.

Presidennya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, setelah mengkaji secara mendalam, pihaknya memutuskan untuk menangguhkan penyertaan pasukan mereka ke dalam Liga-M pada musim depan tetapi pada masa yang sama membayangkan kesediaan untuk beraksi pada musim berikutnya.

“Faktor kewangan yang tidak stabil membantutkan hasrat kita untuk beraksi dalam kancah Liga-M pada musim depan. Syarat yang dikenakan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu setiap pasukan perlu mempunyai RM300,000 dalam akaun persatuan sukar untuk kita penuhi.

“Begitu juga dengan Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia dan Persatuan Bola Sepak India Malaysia yang turut tidak mengambil bahagian atas alasan yang sama. Saya berharap pihak FAM dapat mengkaji semula peraturan ini pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai Kejohanan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-71 yang memasuki saingan suku akhir sekarang, Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) mengakui beliau berpuas hati dengan perkembangan beberapa pasukan yang mencipta kejutan dalam pertandingan tersebut.

“Saya tidak terkejut pun apabila juara bertahan, Kelantan boleh tersingkir awal dalam kejohanan kali ini. Ini membuktikan pasukan yang mengambil bahagian melakukan persiapan rapi malah prestasi mereka juga begitu membanggakan.

“Ini merupakan satu amaran awal kepada Kelantan. Kalau mereka hendak pertahankan Piala Agong yang baru dimenangi dan meraih Piala Emas Raja-Raja pada tahun depan, mereka harus melakukan persiapan awal sebaik mungkin.

Menurut Takiyuddin, bagi mengangkat kejohanan tersebut supaya lebih berprestij sesuai dengan usia pertandingan itu dianjurkan, pihaknya menambahkan hadiah wang tunai bagi pasukan bergelar juara dan naib juara pada edisi kali ini.

“Kebiasaannya gelanggang perlawanan akhir hanya melibatkan dua pasukan finalis. Namun sekiranya sambutan hebat diberikan, kita bersedia untuk mengadakannya di gelanggang berkecuali seperti di stadium berkapasiti tempat duduk yang banyak,” katanya.

No comments:

Post a Comment