Thursday, December 1, 2011

MAT YO, APEX RAIH ANUGERAH LAGI


Dua pemain bola sepak Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat masing-masing memenangi anugerah buat kali kedua berturut-turut dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM 2011 yang berlangsung di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam, semalam.

Penyerang terbilang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, 25, sekali lagi membuktikan kehebatannya menjadi antara penyerang terbaik yang dimiliki Negara setelah memenangi Anugerah Penyerang Terbaik buat kali kedua berturut-turut pada tahun ini.

Bersaing hebat dengan wira Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Hairuddin Omar serta pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super musim ini, Abdul Hadi Yahaya (Terengganu), Norshahrul Idlan membuktikan beliau sebenarnya berada di dalam kelasnya tersendiri selaku penyerang terbaik Negara ketika ini.

Lebih manis lagi, Norshahrul Idlan atau lebih terkenal dengan panggilan Mat Yo dalam kalangan peminat bola sepak The Red Warrior turut merangkul gelaran Anugerah Pemain Paling Bernilai Supermokh (dahulu dikenali sebagai Anugerah Pemain Paling Bernilai) yang baru diperkenalkan pada tahun ini.


Harus diingati, gol pertama Liga Malaysia musim ini yang dijaringkan beliau seawal minit kesembilan perlawanan ketika mengalahkan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam pada 29 Januari lalu berjaya membantu The Red Warriors menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali.

Meskipun terlepas gelaran Anugerah Kasut Emas kepada penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya namun harus juga diingati dua gol beliau dalam perlawanan terakhir ketika mengalahkan Sabah 2-1 di Kota Kinabalu pada 5 Julai lalu turut mengangkat The Red Warrior selaku juara Liga Super buat pertama kali.

Sementara itu, Khairul Fahmi Che Mat, 22, juga membuktikan kehebatannya kekal selaku penjaga gawang nombor satu Negara dengan merangkul gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali kedua berturut-turut.

Diundi selaku tiga penjaga gol terbaik bersama Mohd Sharbinee Allawee Ramli (Terengganu) dan Mohd Farizal Marlias (Negeri Sembilan), Khairul Fahmi atau terkenal panggilan Apex membuktikan kehebatannya selaku penjaga gawang terbaik Negara dengan mengetepikan dua calon tersebut.

Meskipun dilihat lebih banyak menghabiskan masa menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sepanjang musim ini, namun kehebatan Apex tetap terserlah apabila hanya membenarkan gawang Kelantan bocor paling sedikit iaitu hanya 21 gol daripada 26 perlawanan Liga Super sepanjang musim ini.

Terbaru, penampilan Apex ialah bersama skuad kebangsaan di Sukan Sea XXVI di Jakarta dan berjaya mempertahankan pingat emas bola sepak negara buat kali kedua berturut-turut.

Sementara itu, Kapten Kelantan, Muhd Badhri Radzi turut dicalonkan dalam kategori Pemain Tengah Terbaik bersama pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim (Selangor) dan Joseph Kallang Tie (Terengganu).

Meskipun gagal memenangi anugerah tersebut, namun kejayaan berada dalam senarai tiga calon terbaik merupakan satu pencapaian peribadi yang membanggakan bagi pemain berusia 29 tahun itu.

Begitu juga, bekas Jurulatih Kelantan musim ini, Datuk M Karathu yang turut tersenarai bersama dengan Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu) dan Norizan Bakar (Perak) dalam kategori Anugerah Jurulatih Terbaik.

Walaupun anugerah tersebut dimenangi Irfan Bakti, namun sumbangan Karathu yang berjaya membawa pulang dua piala iaitu Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala Liga Super ke bumi negeri Cik Siti Wan Kembang tetap dibanggakan.

No comments:

Post a Comment